PETALING JAYA – Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu menyindir sikap dunia Arab yang disifatkan terlalu bergantung kepada Amerika Syarikat dalam isu Palestin.
Menurutnya, tindakan itu hanya sia-sia dan tidak membawa sebarang perubahan kepada nasib rakyat Palestin yang terus terkepung.
“Harapan sebegitu ibarat menunggu sisik tumbuh pada ikan keli, sesuatu yang mustahil. Masa depan Palestin menuntut keberanian, kesatuan dan tindakan lebih tegas daripada saudara seagama mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebaliknya, beliau memuji langkah berani Itali dan Sepanyol yang menghantar kapal tentera laut bagi membantu misi flotilla kemanusiaan ke Gaza selepas serangan dron baru-baru ini.
“Di tengah keheningan dunia, Itali dan Sepanyol telah membuktikan mereka bukan hanya terbatas kepada retorik kosong, sebaliknya menunjukkan keberanian moral dengan tindakan nyata,” katanya.
Mohamad menegaskan Palestin adalah ujian moral kepada seluruh umat manusia, justeru dunia Islam digesa tampil dengan keberanian serupa dan tidak lagi berlengah.
“Solidariti dengan Palestin adalah kewajipan bersama, dan sejarah akan mengingat siapa yang benar-benar berdiri mempertahankan keadilan, dan siapa yang sekadar melaungkan slogan di pentas persidangan,” katanya.- KOSMO! ONLINE.