PETALING JAYA – Minum air kosong ketika makan di luar bukan sahaja baik untuk kesihatan, malah mampu menjimatkan perbelanjaan harian hingga 25 peratus berbanding memilih minuman bergula seperti teh tarik atau limau ais.
Menurut perkongsian Public Health Malaysia (PHM) di Facebook, pelanggan yang memesan air kosong akan mendapati bil makanan lebih rendah, sekali gus dapat berjimat sehingga RM300 sebulan.
Malah, kata PHM, walaupun sudah lengkap dengan lauk-pauk, jumlah bayaran lazimnya tidak melebihi RM10.
“Percayalah, mula-mula memang rasa janggal, tapi lama-kelamaan ia jadi kebiasaan. Air kosong bukan saja selamatkan poket, tapi juga tubuh anda,” kata PHM.
PHM sebelum ini menjelaskan pengambilan minuman manis bukan sahaja menambah kos perbelanjaan, malah menyumbang kepada masalah kesihatan seperti obesiti, kencing manis dan darah tinggi. – KOSMO! ONLINE