fbpx
Farm Fresh kini dilihat sebagai antara syarikat tenusu paling berjaya di negara ini.

Pelaburan dalam Farm Fresh kejayaan besar Khazanah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah) merekodkan salah satu pelaburannya yang paling berjaya dalam tempoh lebih sedekad selepas menjual sebahagian besar pegangan sahamnya dalam Farm Fresh Bhd., sekali gus mengurangkan kepentingannya kepada hanya 3.02 peratus.

Dana kekayaan negara itu dikatakan memperoleh hampir RM900 juta sejak pelaburan awal dalam syarikat tenusu itu pada 2011.

Pada tahun tersebut, Khazanah membeli 30 peratus kepentingan dalam syarikat yang ketika itu dikenali sebagai The Holstein Milk Company Sdn. Bhd., pada harga antara RM18 juta hingga RM20 juta.

Khazanah bukan lagi pemegang saham utama Farm Fresh pada 4 September lalu selepas menjual 65 juta saham melalui anak syarikat milik penuhnya, Agrifood Resources Holdings Sdn. Bhd. yang mengurangkan pegangannya daripada 6.49 peratus.

Farm Fresh disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 2022, dengan kutipan hampir RM1 bilion pada harga terbitan RM1.35 sesaham. Penyenaraian itu menilai syarikat berkenaan pada RM2.5 bilion.

Kini, Farm Fresh memiliki nilai pasaran sekitar RM4 bilion.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Farm Fresh, Loi Tuan Ee, sebelum ini menyatakan bahawa pelaburan Khazanah memberi kelebihan besar kepada syarikat, termasuk akses kepada tanah serta kemudahan untuk memperluas operasi.

Beliau bersama keluarganya kekal pemegang saham terbesar dengan 40.1 peratus kepentingan.

Antara pemegang saham institusi lain termasuk Abrdn Malaysia Sdn Bhd (10.64 peratus), Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan gabungan 8.8 peratus.

Farm Fresh kini menggaji lebih 1,500 kakitangan dan dianggap sebagai antara jenama tenusu paling berjaya di negara ini. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN