JOHOR BAHRU – Seorang penolong jurutera awam di Majlis Daerah Tangkak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM800 empat tahun lalu.
Tertuduh, Nurkhalis Senin, 40, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Nurkhalis bersetuju menerima wang RM800 daripada seorang kontraktor menerusi transaksi dalam talian sebagai balasan bagi kerja membaik pulih kerosakan rumah Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB) Fasa Kedua 2020.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah bank Jalan Muar, Tangkak pada 10 Mei 2021. Oleh itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Peguam Suhaila Shafiuddin memohon jaminan yang rendah kerana anak guamnya mempunyai prestasi kerja yang baik dan pernah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) pada tahun 2013.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin warga tempatan dan menetapkan 24 Oktober ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen. – KOSMO! ONLINE