KOTA BHARU – Sindiket penyeludupan kenderaan dari Singapura dikesan menawarkan harga jualan kereta mewah dari negara berkenaan jauh lebih rendah di sini dengan potongan antara 30 hingga 40 peratus berbanding harga pasaran.
Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, taktik itu digunakan bagi mengaburi pembeli yang tidak menyedari risiko memiliki kenderaan seludup.
Menurutnya, hasil risikan mendapati, kereta terbabit terlebih dahulu ditempatkan di beberapa lokasi sekitar Johor Bahru, Johor sebelum diedarkan kepada pelanggan di negara ini.
“Pada Mei lalu sahaja, JKDM Kelantan berjaya merampas sembilan buah kereta seludup di Johor Bahru yang dianggarkan bernilai RM1.46 juta. Rampasan itu dibuat hasil maklumat orang awam.
“Kereta yang dirampas antaranya BMW 325, Porsche Panamera, Audi A5, Jaguar, Mercedez Benz dan Suzuki Swift yang dijual pada harga RM25,000 sehingga RM800,000 mengikut model tertentu,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Penguatkuasaan JKDM Kota Bharu di sini, hari ini.- KOSMO! ONLINE