BRUSSELS, BELGIUM – Serangan siber ke atas sebilangan lapangan terbang di Eropah masuk hari ketiga semalam ketika Kesatuan Eropah (EU) memberi amaran bahawa penggodam menggunakan perisian tebusan (ransomware) untuk menjejaskan sistem maklumat lapangan terbang di seluruh dunia.
Agensi berita United Press International melaporkan, perisian jahat digunakan untuk menjangkiti sistem daftar masuk dan menaiki pesawat automatik di lapangan-lapangan terbang.
Agensi Keselamatan Siber EU memberitahu Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) bahawa penggodam tidak menuntut wang tebusan sebagai pertukaran untuk memulihkan sistem teknologi maklumat yang terjejas.
Dalang di sebalik siri serangan itu belum dikenal pasti, tetapi kumpulan sedemikian biasanya menuntut wang tebusan dalam bentuk mata wang kripto bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Beberapa lapangan terbang Eropah termasuk Brussels, Berlin dan Dublin, Ireland masih meneruskan usaha untuk pulih.
Lapangan terbang Heathrow di London pula meminta syarikat-syarikat penerbangan melakukan daftar masuk dan membenarkan penumpang menaiki pesawat secara manual.
Perisian terjejas itu dinamakan Muse dan dibina oleh Collins Aerospace. Ia adalah firma sebahagian daripada kontraktor pertahanan RTX yang beribu pejabat di negeri Virginia, Amerika Syarikat.
Semalam, Collins Aerospace berkata, pihaknya bekerjasama dengan pelanggan dan berada di peringkat akhir untuk menyediakan kemas kini bagi memulihkan perisian terjejas.
Collins Aerospace masih belum mengesahkan sama ada dapat mengambil alih semula kawalan dan menjamin perisiannya selamat setakat semalam, demikian menurut pengurusan Lapangan Terbang Brussels.
Namun, seorang jurucakap memberitahu akhbar The Guardian bahawa hanya sekitar 14 peratus dan 8 peratus daripada pelepasan dan ketibaan kelmarin telah dibatalkan.
Keadaan di lapangan Heathrow kelihatan sedikit lebih baik, dengan sebahagian besar penerbangan beroperasi seperti biasa walaupun daftar masuk dan naik untuk beberapa penerbangan mengambil masa lebih lama daripada biasa, kata seorang jurucakap. – AGENSI