fbpx
Hannah menyantuni atlet renang selepas merasmikan Majlis Penyerahan Projek Menaik Taraf Papan Markah di Pusat Akuatik Negeri di Seremban hari ini. Foto oleh NUR SHARIEZA ISMAIL/ KOSMO!

Baiki kelemahan struktur, elak isu kelewatan ganjaran atlet berulang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEREMBAN – Kelewatan penyaluran ganjaran kepada atlet paralimpik negara selepas setahun meraih pingat di Sukan Paralimpik Paris 2024 membuka ruang untuk penambahbaikan dari segi tadbir urus penajaan sukan pada masa hadapan.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menegaskan, isu berkenaan bukan melibatkan salah laku tatatertib, sebaliknya kelemahan struktur penyaluran yang perlu diperbaiki agar tidak berulang.

“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyatakan perkara ini adalah ‘isu governance’. Sebab itu saya mahu semua tajaan atau tawaran ganjaran daripada pihak swasta direkodkan secara bertulis, bukan sekadar janji lisan. Dalam program Road To Gold, kita sudah laksanakan kontrak dengan penaja dan pembayaran selesai dalam tempoh dua bulan.

“Namun atlet para tidak berada dalam program itu, sebaliknya penajaan diuruskan oleh Majlis Paralimpik Malaysia (MPM). Selepas setahun masih ada ganjaran yang belum disalurkan, itu yang menimbulkan persoalan,” katanya dalam sidang media pada Program Liga Sukan Orang Kurang Upaya 2025 Peringkat Kebangsaan di Kompleks Belia dan Sukan Negeri, dekat Paroi di sini, hari ini.

Beliau berkata, tindakan tatatertib terhadap atlet yang menimbulkan persoalan mengenai kelewatan ganjaran di media sosial tidak wajar kerana ia sekadar pertanyaan, bukan tuduhan.

“Template Road To Gold sudah ada. Saya mahu ia dijadikan rujukan untuk semua, termasuk Majlis Olimpik Malaysia dan Majlis Paralimpik Malaysia, agar penyaluran tajaan lebih telus dan pantas. Fokus sekarang ialah memastikan atlet menerima ganjaran yang diumumkan,” katanya.

Beliau dalam pada itu turut mendedahkan beberapa syarikat swasta telah tampil untuk menambah sumbangan bagi memastikan atlet menerima habuan seperti dijanjikan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN