KUALA LUMPUR – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, berkata beliau akan mendapatkan penjelasan sendiri daripada Presiden MIC, Tan Sri S. A. Vigneswaran.
Ia berhubung khabar angin mengenai kemungkinan parti itu bekerjasama atau menyertai Perikatan Nasional (PN).
“Saya akan tanya dengan beliau (Vigneswaran) sendiri,” katanya ringkas kepada pemberita selepas Majlis Ensiklopedia Terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka serta Majlis Penyerahan Watikah Penterjemah dan Pentashih Mawsu’ah Ahadith al-Qiyam, di sini, hari ini.
Sebelum ini, Vigneswaran berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan parti itu bekerjasama dan menyertai PN.
Bagaimanapun, beliau menegaskan masih terlalu awal untuk membuat keputusan berkaitan isu itu.
Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan hari ini juga berkata, MIC akan memuktamadkan keputusan berhubung masa depan dalam BN pada perhimpunan agung parti itu yang dijadualkan berlangsung November ini.
Saravanan berkata meskipun terdapat jemputan daripada Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia, kuasa untuk membuat keputusan bukan terletak pada pimpinan tertinggi parti.- KOSMO! ONLINE