fbpx
Kon Yeow menunjukkan semakan kadar baharu cukai tanah berkuat kuasa 1 Januari 2026 di George Town, hari ini.

P. Pinang semak kadar baharu cukai tanah selepas 30 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan melaksanakan semakan kadar baharu cukai tanah berkuat kuasa 1 Januari 2026 melibatkan hampir 370,000 hak milik tanah di seluruh negeri.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pewartaan kadar baharu itu dibuat di bawah Seksyen 101 Kanun Tanah Negara (Akta 828) melalui Warta Kerajaan Negeri Pulau Pinang No. 37 bertarikh 11 September lalu.

Menurutnya, kadar baharu itu telah diluluskan oleh Majlis Tanah Negara pada 2024 dan hanya akan disemak semula setiap 10 tahun sekali.

“Kadar semakan baharu cukai tanah itu melibatkan kategori perumahan dengan kenaikan 127.27 peratus di kawasan desa dan 29.63 peratus di kawasan bandar, manakala bagi kategori perindustrian pula kenaikan dicatatkan adalah 151.94 peratus di bandar dan 200.93 peratus di desa.

“Kali terakhir cukai tanah di Pulau Pinang disemak ialah pada tahun 1994, dan selepas hampir 30 tahun baru ia semak semula,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat Ketua Menteri di sini, hari ini.

Beliau berkata, dengan itu, kadar baharu cukai tanah ini akan dikekalkan tanpa sebarang kenaikan sehingga tempoh minimum 10 tahun.

“Cukai tanah yang sebelum ini hanya menjana hasil sekitar RM140 juta hingga RM145 juta setahun dijangka meningkat kepada antara RM200 juta hingga RM300 juta setahun selepas semakan dilakukan,” katanya.  – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI