KAJANG – Seorang penyelia wanita di sebuah pusat beli-belah di Bandar Rincing, Semenyih di sini diserang pelanggan lelaki gara-gara tidak berpuas hati mengenai minyak masak peket, Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan kira-kira pukul 6.50 petang daripada mangsa yang mendakwa dimarahi dan dipukul seorang lelaki tempatan.
“Siasatan mendapati suspek dipercayai mengamuk dan memaki hamun kerana tidak berpuas hati dengan jualan minyak peket kepada warga asing.
“Mangsa yang cuba menenangkan keadaan diserang dari arah belakang sebelum kepalanya dipukul dengan tangan oleh suspek,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut beliau, suspek berusia 38 tahun yang bekerja sebagai juruteknik pendingin hawa kemudian menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang di sini pada 16 September lalu.
“Reman ke atas suspek dibenarkan selama sehari sebelum dibebaskan dengan jamin polis semalam. Semakan mendapati lelaki itu mempunyai satu rekod kes dadah,” jelasnya.
Naazron berkata, kertas siasatan telah dirujuk kepada timbalan pendakwa raya dan suspek akan dituduh di Mahkamah Bangi dekat sini esok mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan.
“Suspek juga berdepan pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil kerana menggunakan perkataan kurang sopan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














