MUNICH – Bayern Munich memulakan kempen Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dengan langkah kanan selepas membenam Chelsea 3-1 pada perlawanan yang berlangsung di Allianz Arena awal pagi semalam.
Dua gol hasil jaringan Harry Kane serta satu gol sendiri Trevoh Chalobah membolehkan Bayern meraih tiga mata berharga manakala gol tunggal The Blues dijaringkan pemain tengah, Cole Palmer.
Kane menyuarakan rasa gembira atas kemenangan penting itu selain meletakkan sasaran untuk menambah koleksi jaringan dalam pertandingan tersebut pada saingan musim ini kerana menganggap ia lebih terbuka.
“Saya sentiasa berpendapat bahawa UCL lebih terbuka jika dibandingkan dengan Bundesliga kerana kami boleh mencipta banyak peluang dan ia memang sesuai dengan permainan saya.
“Saya harap dapat menjaringkan lebih daripada 11 gol pada saingan musim ini. Bagi saya, apa yang paling penting adalah untuk sentiasa memperbaiki prestasi diri dan membantu pasukan,” katanya.
Mengulas kemenangan ke atas Chelsea, penyerang England itu tetap menganggap pasukan lawan menampilkan aksi cukup baik, namun Bayern menunjukkan aksi lebih sempurna dan layak meraih tiga mata.
“Kami bermain sangat baik menentang sebuah pasukan hebat seperti Chelsea. Kami menguasai sepenuhnya dari segi penguasaan bola dan saling membantu antara satu sama lain, itulah kelebihna yang Bayern ada,” ujar Kane.
Sementara itu, Kane juga melakar sejarah tersendiri apabila menjadi pemain England paling banyak melakukan sumbangan gol di pentas UCL menerusi 42 gol dan 11 umpanan, mengatasi legenda Three Lions, David Beckham. – AGENSI