fbpx
PEARLY dan Thinaah gagal memberikan aksi meyakinkan sehingga terpaksa akur tewas di separuh akhir Terbuka Hong Kong.

Pearly-Thinaah terlepas final

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HASRAT beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah untuk mempertahankan gelaran Terbuka Hong Kong lebur selepas tewas kepada gandingan China, Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian dalam aksi separuh akhir, semalam.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Hong Kong Coliseum itu, pasangan No. 2 dunia itu gagal menampilkan persembahan meyakinkan apabila tunduk straight set 14-21, 11-21 dalam tempoh hanya 35 minit.

Pearly-Thinaah dilihat bergelut sejak awal permainan apabila gagal menyerap tekanan dan melakukan banyak kesilapan mudah yang memudahkan lawan mengutip mata demi mata.

Rentak permainan yang tidak menjadi serta pukulan tidak konsisten menyebabkan juara bertahan itu hilang fokus, sekali gus memberi ruang kepada pasangan pilihan keempat kejohanan itu untuk menguasai gelanggang sepenuhnya.

Mengulas kekalahan tersebut, Thinaah berkata, mereka gagal menyesuaikan diri dengan corak permainan agresif yang ditampilkan gandingan ranking No.4 dari China itu sejak awal perlawanan.

“Kami banyak berada dalam situasi bertahan. Serangan mereka pula sangat agresif dan memberi tekanan kepada kami untuk mengawal permainan,” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) sejurus tamat perlawanan.

Pearly pula mengakui tumpuan mereka mulai terganggu dan kerap melakukan kesilapan mudah sehingga memberi kelebihan kepada pasangan lawan untuk mendominasi permainan.

“Kami mula hilang fokus dan terlalu ikut rentak permainan mereka. Ini menyebabkan kami tidak dapat bermain seperti biasa,” katanya.

Kekalahan itu menyaksikan rekod pertemuan memihak kepada Yi Fan-Shu Xian yang kini meraih lima kemenangan daripada enam perlawanan, manakala satu-satunya kemenangan Pearly-Thinaah hadir di Terbuka India Januari lalu selepas pasangan China itu menarik diri akibat kecederaan ketika ketinggalan 4-14.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI