ALOR GAJAH – Sebanyak 335 kenderaan perdagangan dikenakan tindakan sepanjang Operasi Khas Gempur Kenderaan Perdagangan yang dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka dari 1 hingga 9 September lalu.
Pengarah JPJ Melaka, Siti Zarina Mohd. Yusop berkata, tindakan diambil melibatkan 150 kenderaan barangan bawah 7,500 kilogram, 168 kenderaan barangan melebihi 7,500 kilogram, lapan bas ekspres, lapan bas persiaran dan sebuah e-hailing.
“Operasi ini melibatkan pemeriksaan terhadap 13,116 kenderaan termasuk 2,034 kenderaan barangan, dengan sebahagian daripadanya dikesan melakukan kesalahan berulang.
“Sebanyak 648 notis saman telah dikeluarkan dan kita juga membuka tujuh kertas siasatan melibatkan muatan berlebihan serta dua kertas siasatan terhadap bas persiaran kerana tiada senarai penumpang dan melanggar syarat lesen pengendali,” katanya selepas mengetuai pemeriksaan kenderaan perdagangan di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Jejantas Ayer Keroh Lebuh Raya Utara-Selatan (arah utara) di sini, hari ini.
Tambahnya, pemeriksaan turut mendapati lapan kenderaan membawa muatan lebih melibatkan barangan bahan binaan, sawit, baja dan dedak ayam.
Mengulas lanjut beliau berkata, sebuah bas persiaran turut ditahan kerana melakukan tiga kesalahan iaitu tiada pemandu kedua, gagal kemuka lesen pengendali dan gagal kemuka permit perkhidmatan. – KOSMO! ONLINE













