fbpx
YUSRI bersama dua rakan memberanikan diri untuk merakamkan imej hantu di salah sebuah rumah banglo usang di Lembah Klang. – Ilustrasi Shah Hasan

Dikejar bola bercahaya putih dari banglo usang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ZAMAN remaja merupakan tempoh terbaik untuk belajar dan mencari pengalaman sebelum mengambil langkah lebih jauh melayari kehidupan.

Kisah Mitos kali ini melibatkan seorang lelaki pertengahan abad yang ingin berkongsi pengalaman hidupnya kira-kira tiga dekad lalu semasa menjalani kehidupan sebagai seorang remaja di Lembah Klang.

Sebagai seorang remaja ketika itu, Yusri Yusof, 50, berkata, banyak perkara baharu yang dia ingin teroka dan cuba termasuk hal mistik.

“Kisah ini berlaku semasa saya bersama dua rakan iaitu Along dan Abul masih menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Masa terluang memang banyak, hingga timbul idea gila untuk merakam atau mengambil gambar hantu,” katanya ketika ditemui di Kuala Selangor baru-baru ini.

Yusri berkata, kawasan tempat tinggalnya memang banyak banglo agam yang tidak berpenghuni dan kelihatan amat menyeramkan apabila disimbahi cahaya bulan.

Jelasnya, dia dan dua rakan itu tanpa berfikir panjang merancang untuk melaksanakan misi tersebut pada malam Jumaat tepat pukul 12 tengah malam.

“Pada awal 90-an, kereta tidak sebanyak zaman sekarang. Jadi menjelang tengah malam, suasana bandar mula lengang kerana aktiviti perniagaan dan sosial sudah berkurang.

“Pada malam itu, Abul memandu kereta Proton sedan milik bapanya. Saya pula membawa kamera filem yang saya beli dengan harga RM300 untuk merakamkan aktiviti-aktiviti perkhemahan di hutan sebelum ini.

“Zaman 90-an, mana ada kamera digital canggih yang murah macam sekarang. Kamera telefon bimbit memang sesuatu yang hebat jika wujud pada era tersebut,” katanya.

Rumah banglo yang disasarkan mereka terletak di atas bukit, berpagar dan agak jauh dari kediaman lain.

“Sebelum pemilihan banglo usang itu, kami telah cadangkan tujuh lokasi lain antaranya kawasan tanah perkuburan, kilang lama, lokasi orang mati dibunuh dan bangunan projek terbengkalai.

“Akhirnya, banglo itu dipilih hasil cabutan undi,” katanya.

Pada malam yang ditunggu-tunggu itu, kereta yang mereka naiki diletakkan 20 meter jaraknya dari rumah disasarkan.

“Niat kami meninjau dari luar rumah sahaja, rupa-rupanya pagar rumah itu tidak berkunci.

“Lalu, terjadi perbincangan singkat antara kami sama ada ingin mengambil gambar dari luar atau masuk ke dalam banglo usang tersebut,” kata Yusri.

Akhirnya, mereka bertiga memberanikan diri masuk ke halaman banglo yang diterangi cahaya bulan purnama itu.

Kata Yusri, gayanya macam pencuri, namun misi mereka hanyalah untuk menangkap gambar hantu tidak kira bagaimana rupanya.

“Sebelum masuk ke halaman rumah, saya merakam gambar secara rambang di tingkat atas banglo. Harapan saya, apabila filem siap diproses, ada ‘sesuatu’ yang akan muncul di kertas putih.

“Setelah masuk, kami menuju ke pintu kaca yang dipenuhi debu. Tujuan kami adalah untuk merakam gambar ruang tamu dan dapur, sebelum cabut lari,” ujarnya.

Nasib kami baik, ruang tamu tersebut tidak mempunyai langsir dan dengan bantuan lampu suluh kecil kelihatan set sofa ditutup dengan kain putih.

Suasana di dalam rumah itu penuh bersawang, sekali gus membuktikan ia sudah lama ditinggalkan.

“Masa Abul menyuluh, saya terus merakam gambar ruang tamu. Terdapat lukisan potret di dinding bahagian ruang tamu rumah itu.

“Tiba-tiba Along menepuk belakang saya dan Abul. Katanya, dia terdengar suara orang memberi salam.

“Saya yang sedang merakam gambar sempat bertanya, perempuan atau lelaki yang memberi salam.

“Lalu, Along yang sedang cemas memaklumkan, dia terdengar seperti suara perempuan tua,” jelasnya lagi.

Pada saat itu, Yusri dan Abul terfikir mungkin Along berkhayal sebab hanya dia yang mendengar suara tersebut.

“Walaupun Along sudah mendengar suara seram, namun kami tetap tidak berganjak hingga misi merakam gambar sebanyak mungkin selesai.

“Along yang mula ketakutan merapatkan dirinya dengan saya,” katanya.

Sedang mereka bergerak ke belakang banglo, Along telah menarik tangan Yusri hingga kamera dipegang nyaris terjatuh.

“Kali ini, Along tidak bersuara, hanya menunjukkan sesuatu di atas pagar.

“Masalahnya, saya dan Abul tidak nampak apa-apa,” katanya.

Setelah merakam gambar di bilik belakang dan dapur, mereka bertiga terus bergerak keluar dari rumah banglo itu.

Setelah kaki melangkah keluar, tiba-tiba kami bertiga ternampak satu cahaya putih berbentuk seperti bola.

“Kali ini, bukan sahaja Along yang nampak, saya dan Abul juga melihat bola cahaya berwarna putih di atas tingkat dua rumah banglo tersebut yang meluru mengejar kami.

“Sehabis daya, kami terus berlari ke kereta dan Abul memandu selajunya. Sedar-sedar, kami sudah berada di depan restoran mamak. Saya, Along dan Abul terdiam hampir setengah jam di dalam kereta. Memikirkan apa akan terjadi,” katanya.

Selepas filem dicuci bagaimanapun tiada satu pun gambar hantu atau penampakan yang berjaya ‘ditangkap’.

Menurut Yusri, semua gambar yang terhasil gelap.

“Zaman itu kamera pun tidaklah secanggih mana, kalau yang boleh nampak hantu mungkin manusia yang hijab mereka telah dibuka.

“Contoh orangnya ialah Along, semasa dia menunjukkan ke arah pagar, rupa-rupanya dia lihat makhluk hitam besar berbulu lebat bertenggek di situ. Mujurlah saya tidak nampak,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN