AGENSI Antidadah Kebangsaan (AADK) baru-baru ini mendedahkan, harga pil kuda yang dijual RM5 sebiji merupakan salah satu punca ramai yang terjebak dengan penagihan dadah.
Dengan harga sangat murah, bukan hanya bekas penagih, remaja juga merupakan antara golongan yang sangat terdedah untuk mencuba-cuba sekali gus terjebak dengan kegiatan penagihan dadah.
Meskipun rampasan pil kuda dijalankan oleh pihak polis dan Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam skala besar sejak kebelakangan ini, dadah tersebut dilihat masih mudah diperoleh di pasaran tempatan.
Berdasarkan harga jualan dadah itu, remaja merupakan salah satu golongan sasar kepada pengedar untuk menjual pil kuda.
Jika dibuat perbandingan, harga jualan sebiji pil kuda lebih murah berbanding satu plastik kecil air ketum yang dijual pada harga RM7 hingga RM10.
Justeru, penagihan pil kuda dilihat lebih banyak mendapat perhatian remaja berbanding air ketum berdasarkan faktor harga dan kesan pengambilan dadah tersebut.
Mengikut data AADK, penyalahgunaan dadah jenis pil kuda di negara ini mencatatkan jumlah yang tinggi iaitu sebanyak 94 peratus.
Sehingga pertengahan Ogos lalu, lebih 50,000 penagih menjalani pemulihan di bawah AADK merangkumi Rawatan dan Pemulihan Dalam Komuniti.
Berdasarkan data tersebut, ia jelas menunjukkan bahawa penagihan dadah jenis pil kuda sangat berleluasa bukan hanya di Kelantan, sebaliknya di seluruh negara.
Mengulas mengenai penyalahgunaan dadah pil kuda dalam kalangan remaja, Pengarah Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Kota Bharu, Adzmiral Nawi berkata, kebanyakan klien yang menjalani pemulihan di pusat itu mula terjebak dengan dadah selepas mula mencuba-cuba menagih pil kuda.
Menurutnya, penagihan pil kuda dan air ketum merupakan antara bahan terlarang terawal diambil penagih sebelum terjebak dengan penyalahgunaan dadah lebih berat seperti syabu dan heroin.
“Kebiasaannya, klien di Puspen yang terjebak penagihan dadah akan mula mencuba minum air ketum, pil kuda atau ubat penenang jenis epam kerana bahan itu mudah untuk diperoleh sebelum mereka menjurus ke arah penyalahgunaan dadah sintetik lain.
“Berdasarkan soal siasat dengan klien yang berusia 13 hingga 25 tahun di Puspen Kota Bharu, mereka mengakui pengambilan pil kuda memberi kesan rangsangan yang tinggi kepada tubuh badan.
“Keadaan itu menyebabkan tindak balas yang amat responsif terutama apabila melakukan pekerjaan yang berat. Disebabkan itu, ramai penagih yang terjebak dengan pil kuda lebih fokus dalam bekerja, namun akan memberi kesan yang buruk kepada mental dalam jangka masa panjang,” katanya.
Adzmiral memberitahu, sehubungan itu, ibu bapa perlu sentiasa memantau pergerakan dan tingkah laku anak-anak berikutan bimbang mereka terjebak dengan pil kuda kerana bahan tersebut sangat murah dan mudah diperoleh daripada orang di sekeliling.
Katanya, remaja terjebak dengan penagihan pil kuda perlu dibimbing pada peringkat sebelum hanyut dan terlibat dengan penyalahgunaan dadah lebih berat.
“Berdasarkan pengalaman saya di Puspen, dua bahan terlarang yang perlu dijauhkan daripada remaja iaitu pil kuda dan air ketum,” ujarnya.














