fbpx
Shamilo mengambil masa hampir setahun untuk melatih bercakap dalam bahasa Malaysia yang lebih neutral.

Shamilo tukar dialek pertuturan demi ‘casting’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PADA hari bekerja, Muhammad Shamil Shuk Keri menumpukan sepenuh tenaganya sebagai jurutera muda.

Setiap helaian lukisan teknikal diteliti, setiap perincian rekaan diperhalusi, seolah-olah ketelitian itu menjadi nadi kerjayanya.

Namun, hujung minggu membawa perubahan. Suasana pejabat yang sunyi berganti dengan pentas e-sukan yang bergema dengan sorakan, disinari cahaya dan dipenuhi detik penuh adrenalin.

Di situlah perwatakannya sebagai Shamilo menyerlah, menghidupkan permainan dengan suara lantang dan semangat yang tidak pernah padam.

Sebagai pengulas sukan atau caster, kekuatan utama pemuda berusia 26 tahun tersebut terletak pada penguasaan mendalam terhadap permainan.

“Gaya ulasan saya lebih kepada analisis. Saya sentiasa memastikan diri bermain secara konsisten bagi mengekalkan tahap kefahaman serta relevansi dalam setiap ulasan.

“Setiap kemas kini atau patch baharu saya teliti melalui nota rasmi, kemudian diuji sendiri dalam permainan untuk memahami mekanik, keseimbangan hero, serta perubahan strategi yang mungkin berlaku.

“Dengan cara ini, saya bukan sahaja dapat memberikan analisis yang lebih tepat, malah memastikan pandangan saya kekal relevan kepada pemain dan penonton,” katanya kepada K-Remaja.

Kerjayanya dalam e-sukan bermula apabila dia secara spontan menjadi caster Mobile Legends Bang Bang (MLBB) di Hari Kantin UiTM Terengganu ketika bergelar mahasiswa peringkat diploma.

Apabila pandemik melanda dan hampir semua kejohanan serta urusan belajar beralih ke platform dalam talian, Shamilo menyertai pelbagai pertandingan kecil termasuk di negeri kelahirannya, Kedah.

Di situlah kelainannya menyerlah apabila menggunakan dialek Kedah dalam ulasan, menjadikannya lebih dekat di hati penonton.

Dengan hanya berbekalkan telefon dan sepasang headset murah, Shamilo bekerja sebagai penghantar makanan Foodpanda demi mengumpul wang untuk membina komputer serta menaik taraf peralatan.

Langkah seterusnya tiba apabila dia menyertai uji bakat rasmi di bawah Moonton.

SHAMILO (kiri) menggalas tanggungjawab mengulas di peringkat antarabangsa melalui MLBB South East Asia Cup.

Walaupun mara ke peringkat akhir, percubaannya tidak kesampaian kerana dialek Kedah yang masih pekat.

Kekurangan itu bagaimanapun menjadi titik tolak untuk memperbaiki diri dengan membiasakan diri bercakap dalam dialek Kuala Lumpur.

“Saya mengambil masa hampir setahun untuk melatih diri bercakap dengan bahasa Malaysia yang lebih neutral.

“Pengalaman tinggal bersama pasukan semiprofesional di Kuala Lumpur juga banyak membantu saya mengawal dialek Kedah.

“Selain itu, saya memperkemas bahasa dan mempelajari gaya penyampaian yang lebih yakin dan profesional,” ujarnya yang meminati minuman Milo.

Usaha berterusan itu akhirnya membuahkan hasil apabila beliau kembali menghadiri sesi uji bakat dan berjaya menembusi peringkat akhir.

Dari situlah beliau ditawarkan peluang membuat penampilan sulung di pentas Mobile Legends Professional League (MPL) Malaysia Musim ke-7.

Sejak itu, rezekinya datang lebih awal daripada jangkaan. Walaupun masih baharu, Shamilo menerima tawaran mengulas kejohanan bertaraf antarabangsa.

Ada yang dijalankan dari rumah, namun prestasinya tetap konsisten dan meyakinkan.

Lebih membanggakan, pada masa yang sama Shamilo menamatkan pengajian Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia di UiTM Shah Alam.

Kejayaan menggenggam ijazah sambil membina nama sebagai caster membuktikan kemampuan Shamilo mengimbangi dua dunia berbeza.

Salah satu detik paling berharga dalam kariernya berlaku ketika pasukan Selangor Red Giants (SRG) menjuarai Kejohanan Mid-Season Cup (MSC) Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) 2024.

Kemenangan tersebut merupakan yang pertama buat pasukan Malaysia di kejohanan antarabangsa MLBB yang diiktiraf oleh Moonton.

Semasa sesi casting, emosi Shamilo begitu mendalam sehingga ramai penonton turut sebak dan menangis.

Rakaman momen itu menjadi tular dan mendapat liputan media arus perdana seperti Era dan HotFM.

Penghargaan juga diterima daripada pemain dan pengurus pasukan, menjadikan pengalaman itu sebagai salah satu pencapaian paling membanggakan dalam hidupnya.

“Salah satu detik paling berharga dalam karier saya ialah ketika pasukan SRG menjuarai kejohanan antarabangsa. Semasa sesi casting, emosi saya begitu mendalam sehingga ramai penonton turut sebak dan menitiskan air mata.

“Rakaman momen itu menjadi viral dan mendapat liputan media arus perdana, termasuk Era dan HotFM.

“Saya juga menerima penghargaan terus daripada pemain dan pengurus pasukan, menjadikannya salah satu pencapaian paling membanggakan dalam hidup saya,” katanya.

Kongsi Shamilo, sesi casting terpanjang yang pernah dilakukannya ialah kira-kira tiga jam tanpa henti, merangkumi lima perlawanan berturut-turut.

Untuk mengekalkan stamina dan kualiti persembahan, dia memastikan makan sebelum siaran, minum air secukupnya dan mengawal tenaga suaranya sepanjang sesi.

Dalam sesi casting di peringkat lokal, Shamilo lebih mengenali pasukan dan pemain Malaysia, menjadikan persiapan lebih fokus.

Sebaliknya, di peringkat antarabangsa, dia perlu meneliti strategi dan corak permainan pelbagai pasukan dari negara seperti Indonesia, Filipina, Brazil dan lain-lain.

Selain itu, penglibatan dengan bakat dari pelbagai negara menuntut dia untuk bersikap lebih profesional dan versatil.

Akui Shamilo, kadang-kadang dia tersilap menyampaikan maklumat kerana keletihan, tetapi kesilapan itu sentiasa diperbetulkan dengan segera.

“Penonton kini lebih memahami bahawa kesilapan spontan boleh berlaku dan perlu diperbetulkan dengan cepat.

“Saya sudah terbiasa menerima kritikan dan kecaman, dan menganggapnya sebagai perkara yang normal dalam proses pembelajaran sebagai caster,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN