PHOENIX, ARIZONA – Fenomena ribut pasir tebal menggelapkan langit dan memutuskan bekalan elektrik kepada ribuan penduduk bandar raya Phoenix, negeri Arizona, lapor portal berita MailOnline semalam.
Ribut pasir yang juga dikenali sebagai haboob itu berlaku apabila ribut monsun besar melanda bandar raya gurun tersebut pada malam kelmarin.
Menurut Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS), keadaan berdebu itu bermula sekitar pukul 4 petang (waktu tempatan) berhampiran lebuh raya Interstate-10 di Casa Grande dan Eloy, selatan Phoenix.
Namun, ribut itu dengan cepat bergerak ke utara, menyebabkan amaran ribut pasir dikeluarkan sebelum pukul 5 petang (waktu tempatan) dan kekal berkuat kuasa sehingga pukul 7 malam (waktu tempatan).
Video rakaman menunjukkan ‘dinding debu’ merentasi lembah Arizona dan menutupi sepenuhnya sejumlah kawasan perumahan.
Penduduk turut melihat awan besar bergerak masuk, membawa bersama ribut petir yang kuat.
Stadium bola sepak di Universiti Negeri Arizona turut bergelap sepenuhnya, demikian berdasarkan video yang dimuat naik oleh institusi pengajian tinggi itu.
Menurut laman web pemantauan bekalan elektrik di Amerika Syarikat, Power Outage.us, lebih 35,000 penduduk dan premis perniagaan di seluruh Maricopa County terputus bekalan elektrik akibat ribut kuat itu.
Ribut itu juga menyebabkan operasi penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Phoenix Sky Harbor ditunda di mana angin dilaporkan begitu kuat sehingga sebahagian bumbung di Terminal 4 tercabut, lapor laman berita ABC 15. – AGENSI