KUALA LUMPUR – Pelancong dari Malaysia tersenarai dalam kumpulan ketiga terbesar yang melawat ke Taman Safari Indonesia sekali gus menyumbang kepada nilai tambah pendapatan dalam sektor pelancongan di negara berkenaan.
Pengarah Komunikasi Korporat TSI, Alexander Zulkarnain berkata, destinasi ini bukan sekadar zoo biasa, tetapi ia adalah pusat pelancongan bersepadu yang padat dengan pengalaman, pendidikan dan keriangan buat ahli keluarga dari Malaysia kerana mereka tidak perlu membayar kos yang begitu mahal mengembara ke Afrika untuk menghayati suasana percutian berkonsepkan safari gaya Afrika.
Menurut beliau, pelancong suka untuk menyelami pengalaman percutian yang membawa mereka dekat dengan suasana hutan savana Afrika dengan melihat dengan lebih dekat zirafah, singa Afrika, gajah, badak sumbu, kuda belang dan cheetah yang semuanya bebas berkeliaran di kawasan luas yang menyerupai habitat asal binatang tersebut.
Terdapat enam taman safari dan empat resort di seluruh Indonesia yang dikendalikan oleh Taman Safari Indonesia (TSI) syarikat yang mula diasaskan pada tahun 1981.
Taman yang memiliki lebih daripada 22,963 haiwan itu menerima lebih daripada lima juta pengunjung setiap tahun.
“Malaysia lebih daripada sekadar jiran. Ia adalah rakan utama dalam visi kami untuk menawarkan pengalaman pelancongan mesra keluarga, berpendidikan dan berteraskan pemuliharaan.
“Kami dengan sukacitanya menjemput para pelancong Malaysia untuk meneroka taman kami, mengenali kepelbagaian biodiversiti Indonesia dan bersama kami dalam misi melindungi hidupan liar untuk generasi akan datang,” katanya dalam satu majlis mempromosikan TSI kepada media Malaysia di sini baru-baru ini.
Alexander berkata, terdapat pakej pelancongan yang ditawarkan pada harga menarik untuk pelancong yang mahu meneroka semua destinasi menarik itu.
Tambah beliau, setiap taman safari perlu mengambil masa sehari suntuk atau bermalam di resort yang berdekatan untuk merasai pengalaman di sana.
Antara destinasi popular adalah Taman Safari Bogor (Jawa Barat), Taman Safari Prigen (Jawa Timur), Taman Safari Bali, Marine Safari Bali, Beach Safari Batang manakala resort pula adalah Royal Safari Garden dan Safari Resort. -KOSMO! ONLINE