fbpx
Adegan seorang wanita yang memakai burqa hijau menyembunyikan buku di sebalik sebuah jam begitu meruntun hati penonton yang menyaksikan persembahan oleh pelarian-pelarian Afghanistan di Sunway University, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Derita wanita Afghan, sorok buku di belakang jam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DEWAN gelap pekat, hanya kedengaran desiran angin dari speaker, menimbulkan suasana misteri seolah-olah hadirin berada di tengah gurun pada malam yang sunyi.

Perlahan-lahan lampu menyala, menyingkap susuk wanita berburqa hijau yang melangkah masuk dengan penuh hati-hati, seakan membawa rahsia yang belum terbongkar.

Dengan gerak perlahan, dia membuka burqanya untuk membaca buku yang disorok di belakang jam.

Namun ketenangan itu dikejutkan apabila seorang lelaki menyerbu dari sisi pentas, menengking marah sebelum tangannya melayang memukul, seolah-olah perbuatan membaca itu mencabar aturan.

Suasana dewan di Sunway University, Kuala Lumpur itu menegang, seakan semua penonton turut merasakan beban ketidakadilan itu.

Begitulah yang dirasakan oleh para penonton yang menyaksikan persembahan lakonan multidisiplin bertajuk Her Shadow is Her Story yang diarahkan dan dipersembahkan oleh pelarian dari Afghanistan di Malaysia baru-baru ini.

Di saat beban ketidakadilan itu dirasakan semakin memuncak, tiba-tiba dua wanita berpakaian putih muncul, menari halus mengelilinginya dengan gerakan penuh simbolik, seakan memujuknya keluar daripada kesedihan.

Setiap putaran seperti bisikan lembut yang mendesak dia untuk bangkit menyertai tarian kehidupan yang bebas.

Dengan wajah masih basah air mata, dia mengesat pipinya lalu berdiri.

Walau sedikit ragu, langkahnya penuh azam saat mengikuti rentak tarian sufi yang melambangkan kebebasan rohani dan hasrat untuk hidup tanpa belenggu.

Putarannya semakin laju, kainnya berterbangan, dan tatkala dia mendongak ke langit, terpancar keinginan yang tidak mungkin dipadam.

Tarian reda, dia kembali duduk tenang, membuka bukunya sekali lagi seolah-olah menemukan semula dirinya.

Dua penari putih itu melangkah pergi, hilang seperti bayang ditelan cahaya.

Kemudian seorang lelaki muncul, mendeklamasikan sajak. Bait demi bait menggema, membawa luka dan penderitaan yang menyentuh jiwa.

Sebagai penutup, seorang lagi lelaki melangkah dengan gaya berbeza, menyampaikan rap lantang tentang diskriminasi terhadap wanita di negara asal mereka.

Begitulah persembahan multidisiplin bertajuk Her Shadow is Her Story tersebut yang digarap sebaiknya.

Menurut pengarahnya, Nemat Ali Muradi, karya tersebut melibatkan tarian, seni visual, bunyi dan emosi untuk membina naratif puitis tentang kehidupan, kehilangan dan harapan.

“Her Shadow is Her Story memberi ruang kepada kisah-kisah yang jarang didengar, khususnya pengalaman wanita terpinggir dan pelarian, untuk dizahirkan melalui bahasa seni.

“Tanpa menjerit atau berkonfrontasi, ia mengetuk hati penonton dengan mengundang renungan, empati dan rasa keterhubungan terhadap sisi kemanusiaan yang sering tersembunyi,” katanya.Her Shadow is Her Story merupakan sebuah persembahan langsung oleh kumpulan kolektif seni bebas pelarian Afghanistan di Malaysia, DORNA

Persembahan yang dilakukan oleh sembilan pelarian Afghanistan tersebut dilakukan bersempena Hari Pelarian Sedunia di Sunway University.

Namun di sebalik persembahan yang penuh emosi itu, tersimpan cabaran yang bukan kecil buat remaja pelarian tersebut.

Menurut Nemat, karya tersebut dibangunkan dalam tempoh tiga bulan, tetapi sepanjang dua bulan pertama, mereka langsung tidak mempunyai ruang untuk berlatih.

Malah, pada peringkat awal, hanya empat pelakon lelaki dan wanita yang terlibat, sebelum perlahan-lahan berkembang menjadi sebuah produksi kolektif.

“Tanpa ruang, tanpa cukup pelakon, kami tetap teruskan. Selama dua bulan pertama, kami berlatih di mana sahaja ada ruang kosong. Pada awalnya, hanya empat pelakon yang sanggup bersama, namun perlahan-lahan semakin ramai yang tampil untuk menjayakan karya ini.

“Setiap naskhah, setiap gerakan, lahir daripada keinginan untuk didengar kerana inilah cerita kami, bayang kami, dan suara kami,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN