PETALING JAYA – CIMB Bank Berhad hari ini mengumumkan komitmen berterusan dalam memperkasa bakat Malaysia menerusi gerakan sosial ‘Kita Bagi Jadi’, selaras dengan matlamat memperkasakan pelanggan dan masyarakat.
Sempena sambutan kemerdekaan ke-68, CIMB bekerjasama dengan penyanyi rap terkenal Aman RA untuk menerbitkan muzik video Bangun, ‘Kita Bagi Jadi’.
Lagu tersebut menampilkan mesej ketahanan dan harapan, digandingkan bersama Olimpian Datuk Azizulhasni Awang serta kisah inspirasi rakyat Malaysia dari pelbagai lapisan masyarakat.
Ketua Pegawai Jenama dan Pemasaran Kumpulan CIMB, Toni Darusman berkata muzik dan sukan menjadi ejen perpaduan, dan kolaborasi ini mencerminkan semangat ‘Kita Bagi Jadi’ yang ingin diterapkan.
“Kita Bagi Jadi adalah ekspresi kreatif matlamat kami, yang pada fasa pertama kempen menyaksikan kami bekerjasama dengan jaguh sukan Malaysia seperti S. Sivasangari, Datuk Azizulhasni dan terbaharu, Amer Harris dalam menyokong perjalanan mereka mencapai impian dalam arena sukan.
“Muzik dan sukan telah lama menjadi ejen perpaduan dan sering menghimpunkan masyarakat untuk meraikan atau menyokong pasukan mereka.
“Kini, Bangun, Kita Bagi Jadi adalah gabungan terbaik dua personaliti daripada latar belakang berbeza, dan CIMB berharap lagu itu memberi peringatan kepada semua akan semangat ‘Kita Bagi Jadi’ kami,” katanya dalam kenyataan.
Selain itu, CIMB turut meneruskan platform CIMB Artober yang kini diiktiraf sebagai program rasmi Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN 2025.
Acara yang berlangsung pada 26 hingga 28 September ini bakal menampilkan lebih 20 galeri dengan karya lebih 100 artis, termasuk pameran eksklusif karya Allahyarham Datuk Ibrahim Hussein.
Setakat ini, inisiatif itu telah menjana lebih RM20 juta hasil jualan kepada lebih 100 artis tempatan dan serantau.
Dalam masa yang sama, CIMB juga mengumumkan komitmen RM200 juta di bawah Kita Bagi Jadi Komuniti bagi tempoh 2026 hingga 2030.
Ia bertujuan untuk menyokong komuniti kurang mendapat perhatian, sekali gus memastikan pertumbuhan inklusif serta kesejahteraan masyarakat Malaysia.- KOSMO! ONLINE