KUALA LUMPUR – Dipaksa bekerja sebagai ‘scammer’ pelaburan sehingga lebih 17 jam, selama hampir enam bulan di Kemboja.
Itu nasib dilalui lima sekawan termasuk dua beradik apabila didakwa menjadi mangsa sindiket selepas dijanjikan kerja sebagai penterjemah dan pekerja kasino.
Difahamkan, semua mangsa lelaki yang berusia antara 20 hingga 31 tahun itu pergi ke Kemboja pada Mac lalu secara berasingan sebelum dipaksa bekerja di sebuah kawasan di sempadan Kemboja-Thailand.
Adik mangsa yang mahu dikenali sebagai Koh, 24, berkata, dua abangnya berusia 30 dan 31 tahun mengambil keputusan bekerja di Kemboja kerana mahu mencari pendapatan lebih.
“Dua abang pergi ke sana untuk bekerja tetapi saya tidak setuju kerana banyak kes penipuan tetapi mereka tetap mahu pergi.
“Sejak itu saya tidak dapat berhubung dengan mereka. Kali terakhir kami berjumpa pada Februari lalu,” katanya pada sidang akhbar di pejabat Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa (MHO), di sini hari ini.
Ibu seorang lagi mangsa dikenali Yap, 55, berkata, anaknya menerima tawaran kerja daripada seorang kenalan kerana pendapatannya sebagai ejen hartanah agak kurang stabil.
Bagaimanapun katanya, selepas tiba di Kemboja, pasport anaknya disimpan pihak majikan sebelum menerima panggilan daripada anak lelakinya yang memaklumkan dia ditipu.
“Anak beritahu lokasinya tetapi setiap kali telefon dia tak boleh cerita lanjut. Anak minta dia diselamatkan beritahu hidup terseksa di sana kerana bekerja hingga lebih 17 jam,” katanya selepas kali terakhir berhubung dengan anaknya pada Khamis lalu.
Dia turut memaklumkan hanya anaknya saja yang dapat berhubung dengan keluarga dan turut memintanya memaklumkan perkara itu kepada empat keluarga mangsa lain.
Sementara itu, Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, kesemua mangsa berkenaan memilih bekerja di negara berkenaan kerana terbeban masalah kewangan.
Katanya, pihaknya akan berusaha membantu dengan kerjasama berkuasa Kemboja serta Kedutaan Malaysia di Kemboja bagi membawa pulang semua mangsa. – KOSMO! ONLINE