JAKARTA – Pelanggan sebuah kedai serbaneka di Pulau Taliabu, wilayah Maluku Utara berdepan detik cemas apabila melihat seekor buaya gergasi tiba-tiba muncul di dalam premis tersebut, lapor portal berita Lambe Turah.
Kejadian berlaku sekitar pukul 8 malam (waktu tempatan) di daerah Taliabu Barat baru-baru ini.
Rakaman video di platform TikTok oleh akaun @elsa_halik menunjukkan pemilik kedai cuba menghalau reptilia itu dengan tangga tetapi gagal kerana ia terlalu agresif.
Pasukan bomba dan penyelamat tempatan bergegas ke lokasi kejadian lalu mengeluarkan buaya itu dengan selamat.
Masih belum jelas bagaimana buaya itu masuk ke dalam kedai.
Rakaman video itu mencatatkan lebih 20,300 tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi.
“Nak berbelanja, buaya bosan makan ikan,” kata seorang netizen.
“Buaya adalah haiwan yang setia, melainkan ia keluar dari air,” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI