KAHERAH – Mesir mengerahkan askar-askar tambahan di sepanjang sempadan Gaza di tengah-tengah kebimbangan berhubung rancangan Israel yang mahu menakluki wilayah Palestin itu, kata satu sumber kanan tentera kepada laman berita Middle East Eye kelmarin.
Menurut sumber tersebut, rancangan Rejim Zionis mencetuskan kebimbangan bahawa penduduk Gaza akan berpindah beramai-ramai ke selatan wilayah tersebut.
Katanya, kira-kira 40,000 askar kini ditempatkan di Sinai Utara yang dikuasai Kaherah, hampir dua kali ganda daripada jumlah yang dibenarkan di bawah perjanjian damai Mesir-Israel pada 1979.
“Angkatan tentera Mesir berada pada tahap berjaga-jaga tertinggi yang pernah kita lihat dalam tempoh beberapa tahun,” kata sumber berkenaan.
Langkah itu diambil selepas Presiden Mesir, Abdel Fattah el-Sisi selaku panglima tertinggi, memberikan arahan sedemikian setelah mesyuarat bersama Majlis Tertinggi Angkatan Tentera dan Majlis Keselamatan Negara, tambahnya.
Kata sumber itu lagi, Rejim Zionis mahu menghapuskan Hamas di Gaza dan memaksa sejumlah besar rakyat Palestin keluar dari wilayah itu, satu tindakan yang tidak diterima oleh Kaherah.
“Tentera Mesir kini ditempatkan di berbilang kawasan di Sinai Utara termasuk di Zon C. Ia merupakan kawasan bersebelahan dengan Semenanjung Gaza,” katanya lagi.
Kaherah memaklumkan Israel mengenai pengerahan tentera itu yang mencetuskan rungutan berhubung saiz dan kehadiran askar-askar Mesir di zon-zon terhad.
“Mesir menegaskan bahawa mobilisasi ini adalah bersifat pertahanan, namun kami mahu menjelaskan bahawa sebarang serangan ke atas wilayah kami akan dibalas dengan tindakan tegas,” kata sumber berkenaan.
Tentera Mesir turut mengerahkan sejumlah kenderaan perisai, sistem pertahanan udara, pasukan khas dan kereta kebal M60 dekat bandar Rafah di bahagian negara itu dan Sheikh Zuweid serta sekitar kampung al-Joura berhampiran sempadan Gaza.
“Pegawai perhubungan Mesir memaklumkan rakan sejawatan dari Israel bahawa langkah baru-baru ini semata-mata bertujuan mempertahankan sempadan ketika ketegangan semakin meningkat,” tambah sumber itu.
Awal bulan ini, Gabenor Sinai Utara, Khaled Megawer mengeluarkan amaran keras terhadap sebarang kemungkinan serangan Israel ke atas Mesir.
Bercakap kepada media bagi menjawab persoalan tentang kemungkinan konfrontasi dengan Israel, Khaled berkata: “Sesiapa yang terfikir untuk mendekati sempadan kami, akan menerima tindak balas yang mengejutkan dan dahsyat.”
Sejak bermulanya perang genosid di Gaza pada 7 Oktober 2023, terdapat laporan percubaan untuk memaksa ratusan ribu rakyat Palestin meninggalkan wilayah tersebut.
Sinai Utara telah lama disebut sebagai destinasi berpotensi bagi rakyat Palestin yang dipindahkan, satu idea yang berulang kali muncul sejak beberapa dekad lalu.
Awal tahun ini, spekulasi kembali timbul apabila Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mencadangkan agar Mesir dan Jordan menerima rakyat Palestin yang melarikan diri daripada perang Gaza.
Namun, ketika itu, Abdel Fattah berkata: “Pemindahan rakyat Palestin tidak boleh sama sekali diterima atau dibenarkan.
“Penyelesaian bukanlah dengan mengeluarkan rakyat Palestin dari tanah air mereka,” tambahnya. – AGENSI