PASIR PUTEH – Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun ditemukan lemas semasa mengikut bapanya yang sedang membaiki mesin jentera rosak di kuala sungai, Kuala Semerak di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan orang awam yang memaklumkan seorang budak lelaki lemas di muka kuala sungai, Kuala Semerak di sini kira-kira pukul 7.35 malam.
“Pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian tidak menjumpai sebarang unsur jenayah yang boleh dikaitkan dengan kematian mangsa.
“Siasatan awal mendapati, budak lelaki itu mengikut bapanya membaiki mesin jentera yang rosak di sekitar kawasan tersebut sebelum lemas,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Anis untuk dibedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – KOSMO! ONLINE