PETALING JAYA – Attana Hotels & Resorts Sdn Bhd (AHR) telah berjaya meraih enam anugerah di Anugerah Industri Pelancongan 2025 yang berlangsung di sebuah hotel baru-baru ini, mengukuhkan lagi kedudukan kumpulan ini sebagai salah satu penyedia hospitaliti terkemuka di Malaysia.
Ketua Pegawai Operasi AHR, Ron Hasni Yusoff berkata, pencapaian ini mengukuhkan kejayaan cemerlang AHR bersempena anugerah berkenaan pada tahun 2024 yang mana Anugerah Industri Pelancongan 2024, yang mana kumpulan ini turut meraih enam anugerah utama.
Menurut beliau, kemenangan dua tahun berturut-turut ini membuktikan usaha berterusan AHR dalam mengejar kecemerlangan, keupayaannya menyesuaikan diri dengan perubahan kehendak tetamu, serta komitmennya
yang teguh untuk menyampaikan hospitaliti Malaysia yang direka khusus.
“Kami amat berbesar hati dan berasa terhormat kerana sekali lagi menerima pengiktirafan daripada pakar industri serta tetamu yang telah merasai pengalaman di hartanah kami.
“Anugerah ini mencerminkan dedikasi kami bukan sahaja sebagai kumpulan hotel kontemporari, pengendali resort dan kelab golf terkemuka, malah sebagai jenama hospitaliti yang komited untuk meningkatkan pengalaman tetamu dari tahun ke tahun,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan baru-baru ini.
Senarai anugerah yang dimenangi AHR pada tahun ini adalah Attana Hotels & Resorts (AHR) untuk anugerah Best Hotel Management Chain, Perdana Kuala Lumpur City Centre (PKLCC) menerima anugerah Best Business City Hotel dan Perdana Kota Bharu menerima anugerah Best East Coast Business Hotel.
Anugerah yang diterima Espira Kinrara (EK) adalah Best Urban Resort, Villea Port Dickson (VPD) menerima anugerah Best Nature Family Resort manakala Kota Seriemas Golf & Country Club (KSGCC) menerima Best Tournament Golf Course.
Mengulas lanjut, Ron Hasni berkata, pengiktirafan ini meraikan hotel, resort dan kelab golf yang konsisten memberikan pengalaman tetamu yang cemerlang sambil mengekalkan standard perkhidmatan yang tertinggi.
“Pengalaman hospitaliti Malaysia yang kami reka iaitu daripada penginapan hingga sajian adalah keunikan yang membezakan kami. Identiti jenama AHR, yang diilhamkan daripada cahaya penunjuk arah, mencerminkan perpaduan dan semangat hospitaliti Malaysia yang sebenar.
“Kami kekal komited untuk menyediakan pengalaman autentik yang akan dikenang oleh tetamu kami,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa pencapaian ini memberi semangat kepada kumpulan yang mengurus portfolio hotel, resort dan kelab golf bernilai lebih RM800 juta untuk terus meningkatkan kualiti perkhidmatan, di samping mengukuhkan agenda kelestarian melalui program tanggungjawab sosial korporatnya, Sayang Earth. -KOSMO! ONLINE