PETALING JAYA – Keghairahan sebahagian individu yang ingin mendapatkan pangkat Datuk menyebabkan mereka terperdaya dengan sindiket menjual gelaran itu pada harga serendah RM50,000 walaupun tiada upacara pemakaian kalungan atau watikah sah di istana.
Sindiket mengiklankan tawaran status itu di media sosial mengatakan kononnya mereka mempunyai kuota terutamanya menjelang sambutan ulang tahun keputeraan Sultan atau Agong untuk mencari mangsa.
Presiden Majlis Datuk Datuk Malaysia, Datuk Samson David Maman berkata, kegiatan itu semakin berleluasa apabila ada individu sanggup membayar demi status tanpa mempedulikan kesahihan atau undang-undang.
Katanya, maklumat mengatakan gelaran Datuk dijual oleh sindiket tertentu serendah RM50,000 hingga RM800,000 bergantung kepada jenis yang dipinta.
“Sindiket akan meminta kad pengenalan mangsa sebelum menghantar melalui kurier selempang, kad watikah pelantikan, pakaian watikah dan sebagainya dalam tempoh dua minggu hingga sebulan.
“Kebanyakannya tiada sesi kalungan tetapi ada kes upacara dilakukan di rumah serta hotel. Tiada kalungan sah di istana,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Menurut Samson, individu sering terperdaya kononnya hendak berebut kuota menjelang hari keputeraan Sultan atau Agong.
Tambahnya, selepas menerima gelaran ‘Datuk’, sindiket akan memasukkan nama mereka ke dalam laman sesawang palsu tetapi menyerupai yang tulen.
“Ia membuatkan pelanggan percaya dan merasakan mereka benar-benar telah ada gelaran tersebut. Mereka kemudian menyalahgunakan gelaran tersebut untuk memperdaya orang awam lebih-lebih lagi dalam pelaburan wang atau saham palsu,” katanya.
Ujar Samson, pihaknya menerima lebih 10 aduan mengenai Datuk palsu setiap bulan daripada mangsa pelaburan palsu.
“Orang akan percaya jika ada gelaran Datuk. Gelaran itu dicetak pada kad dan lebih teruk pada kad pengenalan supaya dilihat sebagai orang yang berkuasa dan dipercayai,” katanya.
Menurut Samson, apabila pelaburan gagal dan orang terbabit lesap, mangsa selalunya akan datang membuat aduan kepadanya bagi meminta bantuan.
Tambahnya, setiap aduan disemak melalui www.istiadat.gov.my dan 70 peratus individu terlibat jenayah, pelaburan saham atau wang menggunakan gelaran Datuk palsu.
“Bagaimanapun kami tiada kuasa untuk mengambil tindakan. Kami hanya boleh menasihati mangsa membuat laporan polis,” katanya.
Samson turut menggesa pihak berkaitan agar mempercepatkan cadangan pindaan kepada Akta Anugerah 2017 (Akta 787) bagi membendung penyalahgunaan gelaran kehormat.
Beliau berkata pindaan itu akan memberikan kuasa lebih jelas kepada pihak polis untuk mengambil tindakan terhadap pemegang gelaran palsu.
“Jika ada orang mengaku Datuk, semaklah di laman rasmi www.istiadat.gov.my. Di laman sesawang ini lengkap kesemua butiran iaitu watikah, oleh sultan negeri mana, tarikh semua lengkap. Boleh juga rujuk laman sesawang https://mddm.org.my untuk sebarang info sahih,” katanya.
Tambahnya, kegiatan itu akan memberi kesan buruk kepada negara jika tidak dibendung.
“Datuk sebenar tidak akan menonjolkan diri, sebaliknya bekerja keras untuk memberi semula kepada masyarakat,” katanya.














