KUALA LUMPUR – Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bertumbuh sebanyak 4.4 peratus pada suku tahun kedua (ST2) 2025, mengekalkan kadar pertumbuhan yang sama seperti suku tahun pertama (ST1).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd. Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan didorong oleh penggunaan domestik dan pelaburan, walaupun permintaan luaran lebih perlahan.
“Bagi terma pelarasan musim suku tahun ke suku tahun, KDNK meningkat 2.1 peratus, berbanding 0.7 peratus pada ST1.
“Sektor Perkhidmatan berkembang 5.1 peratus (ST1: lima peratus), sektor Pembuatan menyederhana kepada 3.7 peratus (ST1: 4.1 peratus), sektor Pembinaan mencatatkan pertumbuhan kukuh 12.1 peratus (ST1: 14.2 peratus), sektor Pertanian meningkat 2.1 peratus (ST1: 0.7 peratus), manakala Sektor Perlombongan & pengkuarian menyusut 5.2 peratus (ST1: -2.7 peratus).
“Ketahanan ekonomi Malaysia dapat dilihat melalui kekuatan permintaan domestik yang berterusan, didorong oleh perbelanjaan pengguna dan pengeluaran perindustrian, walaupun permintaan luar lebih lemah,” katanya pada sidang akhbar prestasi ekonomi suku kedua tahun 2025 di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia (BNM) di sini, hari ini.
Sementara itu, Gabenor BNM, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, pihaknya tidak melihat keperluan untuk menyemak semula unjuran pertumbuhan ekonomi yang dibuat hanya dalam tempoh beberapa hari sebelum tarif import AS ke atas barangan Malaysia dimuktamadkan pada 19 peratus.
Pada Julai, BNM telah menyemak semula jangkaan pertumbuhan ekonomi daripada 4.5 hingga 5.5 peratus kepada empat hingga 4.8 peratus untuk tahun ini.
Jelas beliau, unjuran tersebut telah mengambil kira pelbagai senario kemungkinan tarif oleh AS.
“Kini kita beroperasi dalam persekitaran berbeza, di mana perubahan berlaku begitu pantas dan ketidaktentuan menjadi norma baharu yang menjadikan proses untuk membuat unjuran begitu mencabar.
“Untuk itu, perlu ada andaian yang cukup meluas untuk menangkap pelbagai kemungkinan dan unjuran yang dibuat telah mengambil kira kepelbagaian kemungkinan ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE