fbpx
GAMBAR HIASAN

Lebih 17,000 kes warga asing bawa kenderaan perdagangan direkodkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kira-kira 17,347 kesalahan pemandu kenderaan perdagangan warga asing direkodkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi tempoh 2021 hingga Julai lepas.

Pengarah Kanan Penguat kuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, bagi kesalahan tiada Lesen Kenderaan Barangan (GDL) mencatatkan 16,238 kes, tiada Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (443 kes) dan lebih muatan (666 kes).

Menurutnya, jumlah kesalahan terbabit mencatatkan peningkatan setiap tahun iaitu 2021 dengan 2,193 kes, 2022 (2,839 kes), 2023 (4,323 kes), 2024 (5,259 kes) dan tahun ini setakat Julai sudah merekodkan 2,733 kes.

“Kita telah kenal pasti kira-kira 10 syarikat kenderaan perdagangan yang menggajikan pekerja asing secara tidak sah.

“Berdasarkan peraturan JPJ, warga asing tidak dibenarkan memiliki GDL, PSV dan menjadi satu kesalahan terhadap syarikat dan pengendali berlesen yang menggajikan warga asing serta memandu mana-mana kenderaan perdagangan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, JPJ menyeru semua syarikat dan pengendali berlesen dalam industri pengangkutan untuk sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan dan memastikan setiap pekerja yang diambil memiliki dokumen dan kelayakan yang sah.

Media sebelum inj melaporkan JPJ akan mengambil tindakan melucuthakkan kenderaan milik syarikat dan pengendali berlesen kenderaan perdagangan yang menggajikan warga asing sebagai pemandu berkuat kuasa pada Khamis.

Tindakan penguatkuasaan boleh diambil mengikut Seksyen 22, 41, 57 serta 80 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI