MANCHESTER – Penyerang RB Leipzig, Benjamin Sesko dilaporkan sedia berlepas ke Manchester bagi menjalani pemeriksaan kesihatan sebaik sahaja menerima ‘lampu hijau’ daripada kelab untuk menyempurnakan perpindahan ke Old Trafford.
United berjaya mengambil kesempatan terhadap keinginan Sesko menyertai mereka apabila mengemukakan tawaran rasmi pada Selasa lalu, biarpun nilai perpindahan yang ditawarkan lebih rendah berbanding bidaan daripada Newcastle.
Meskipun The Magpies menawarkan sekitar €85 juta (RM417 juta), Sesko tetap memilih United sebagai destinasi utama dan hanya menunggu langkah rasmi daripada kelab itu sejak awal jendela perpindahan.
Menurut pakar perpindahan Eropah, Fabrizio Romano, penyerang antarabangsa Slovenia itu telah bersetuju secara peribadi untuk menandatangani kontrak lima tahun bersama United hingga Jun 2030.
“Sesko mahu ke United. Dia tidak pernah memberi isyarat serupa kepada kelab lain,” katanya.
Beberapa laporan lain turut mengesahkan perkara sama, selain memaklumkan United kini sedang berusaha memuktamadkan struktur bonus dalam perjanjian itu dan Sesko hanya menunggu arahan untuk berlepas ke Manchester.
“Dia bersedia untuk menjalani ujian perubatan dan menandatangani kontrak. Hanya tunggu lampu hijau,” menurut sumber.
Sementara itu, bekas pertahanan United, Paul Parker menyifatkan tindakan Sesko memilih United sebagai keputusan tepat bagi memenuhi keinginannya untuk bersaing di pentas tertinggi. – AGENSI