fbpx
Mysara juga menerima Mantayay Gold Hold Award pada tahun lalu.

Mysara pernah ‘live’ sehingga 16 jam sehari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KALAU dahulu, dia bermain e-sukan untuk isi masa lapang, kini Mysara Asram melangkah jauh dalam dunia tersebut.

Wanita berusia 28 tahun itu kini merupakan seorang pempengaruh e-sukan yang memiliki 6,900 pengikut di Instagram dan 241,300 pengikut di TikTok.

Sepanjang penglibatannya dalam dunia e-sukan, anak jati Johor itu berjaya meraih beberapa pengiktirafan yang membuktikan komitmen serta pengaruhnya.

Antara pencapaian Mysara termasuk Community Award MLBB 2023 yang diterima di IMAGO Mall, Kota Kinabalu, Sabah.

Anak kedua daripada lima beradik itu turut meraih Mantayay Loyalty Award 2023 dan Mantayay Gold Hold Award 2024.

Bukan itu sahaja, Mysara juga berpeluang berdiri sebaris dengan pemain e-sukan terkenal tanah air seperti Soloz yang dianggap idola dan inspirasi dalam arena permainan video.

Mengimbau permulaannya dalam arena e-sukan, Mysara berkata, dia memulakan langkah dalam dunia kandungan digital secara spontan menerusi aplikasi TikTok dengan berbekalkan sebuah telefon iPhone SE.

“Saya mula buat kandungan secara spontan dekat TikTok guna iPhone SE. Ketika itu, tiada niat hendak buat secara serius. Live (siaran langsung) pertama saya pun sebab penonton yang suruh.

“Namun tidak sangka video itu tular.

“Selepas itu, ramai penggemar e-sukan dari Indonesia tiba-tiba follow akaun saya. Pengikut naik banyak ketika itu,” katanya kepada K-Remaja.

Siaran langsung Mysara ketika itu hanya melibatkan aktiviti membaca komen dan menonton video sambil makan.

Sebagai pempengaruh, Mysara berpeluang menemu bual pemain dan peminat e-sukan dari luar negara.

Mysara juga pernah menggunakan tiga telefon serentak untuk bermain, membaca komen dan sebagai ganti jika berlaku masalah teknikal.

Tuahnya bermula apabila dia mula bermain Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) secara langsung sehingga meraih ramai pengikut daripada komuniti terbabit.

Hal tersebut membuatkannya mula dikenali oleh penggemar MLBB sehingga dijemput ke acara rasmi mereka di Sabah dan Kejohanan Dunia M5 di Filipina.

“Saya teruja ketika dijemput ke Filipina untuk Kejohanan Dunia M5 kerana itu merupakan kali pertama saya menjejakkan kaki di luar negara.

“Sepuluh hari saya dekat sana, saya buat 20 video. Saya temu bual pemain, jurulatih dan peminat. Tapi saya cakap bahasa Melayu saja sepanjang di sana, namun orang tetap kenal,” katanya.

Selain aktif dalam MLBB, Mysara juga bermain Honor of Kings di posisi roamer, manakala Lady Zhen pula merupakan ‘hero mid-lane’ kegemarannya.

Mysara menganggap permainan tersebut lebih mencabar kerana memerlukan komunikasi dan strategi berkumpulan yang lebih tinggi.

Prestasi hebat Mysara telah menarik perhatian Tencent Malaysia untuk menjemputnya terlibat dalam acara rasmi seperti Hari Raya dan acara bertemakan Squid Game.

Namun ketika ini, Mysara lebih gemar bermain permainan santai seperti Persona 5 dan permainan indie seperti Used Panties Party

Mengulas mengenai rutin hariannya sebagai pencipta kandungan, Mysara berkata, dia pernah menjalani rutin siaran langsung sehingga 16 jam sehari.

“Saya pernah live sampai 16 jam sehari, termasuk waktu makan dan solat.

“Kalau tidak buat live sehari, saya rasa macam serba salah kerana sudah terbiasa dengan rutin berkenaan.

“Ketika itu saya memang buat sehabis baik kerana nama baru hendak naik.

“Jadi, saya perlu balas budi penonton tengok live saya.

“Namun lama-kelamaan, saya jadi burnout dan ambil keputusan untuk rehat seketika,” katanya.

Selepas mendirikan rumah tangga pada tahun lalu, Mysara mengambil keputusan untuk mengehadkan waktu live kepada sesi siang sahaja.

Keputusan tersebut dibuat demi memberi ruang kepada kehidupan berkeluarga bersama suami yang turut memainkan peranan sebagai pengurus dan penyokong utama kariernya.

Mysara kini bukan sahaja memiliki komuniti penonton setia seramai kira-kira 40 orang, malah aktif menganjurkan sesi tontonan bersama bagi kejohanan MLBB Professional League (MPL) serta pertemuan santai.

Mysara turut menyimpan hasrat untuk menghadiri Kejohanan Dunia M7 di Indonesia, selain terus menghasilkan kandungan yang lebih kreatif dan berimpak.

Mengulas berkenaan cabaran sebagai pencipta kandungan wanita dalam arena e-sukan, Mysara mengakui, dia tidak terlepas daripada menerima komen berbaur seksual, kecaman kasar dan rasa tidak senang daripada pasangan penonton lelaki.

Sementara itu, wanita tersebut menyeru agar anak muda tidak mengabaikan pelajaran demi dunia penstriman kerana ia bukan sesuatu yang mudah seperti disangkakan.

“Jangan abaikan pelajaran untuk dunia stream.

“Perkara ini memang nampak senang, tapi tidak semudah yang disangka. Kadang-kadang orang tidak faham apa yang kita buat.

“Ada yang kata saya malas, duduk rumah saja. Namun realitinya, kita perlu fikir tentang kandungan pada setiap hari, cara berinteraksi dengan penonton serta jaga emosi dan konsistensi.

“Stream ini memang seronok, tapi kalau tidak betul cara, ia boleh buat kita hilang semangat.

“Minat saja tidak cukup kalau tiada usaha dan sokongan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN