00MADRID – Bintang Brazil, Rodrygo membuat keputusan muktamad untuk kekal bersama Real Madrid musim ini sekali gus menamatkan spekulasi perpindahannya ke Liga Perdana Inggeris (EPL) yang dikaitkan dengan Liverpool dan Tottenham Hotspur.
Liverpool menyasarkan Rodrygo sebagai pengganti Luis Diaz yang berhijrah ke Bayern Munich, manakala Spurs pula mahu membawanya masuk bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Son Heung-min yang dilaporkan bakal menyertai Los Angeles FC.
Sumber mendedahkan Madrid meletakkan tanda harga €90 juta (RM441.26 juta) untuk melepaskan pemain berusia 24 tahun itu, selain turut menuntut bayaran tambahan jika perpindahan dimuktamadkan.
Terdapat juga laporan bahawa Rodrygo telah mengadakan pertemuan empat mata dengan Presiden Florentino Perez sejurus kembali ke latihan pramusim dan menyatakan hasrat untuk terus kekal di Santiago Bernabeu.
Rodrygo dikatakan berazam untuk meraih kembali kepercayaan jurulatih baharu, Xabi Alonso selepas hanya sekali disenaraikan dalam kesebelasan utama ketika kempen Piala Dunia Kelab FIFA 2025 yang lalu.
Setakat ini, Rodrygo telah menjaringkan 68 gol dan mencatat 51 bantuan jaringan dalam 270 penampilan bersama Madrid selain memenangi tiga kejuaraan La Liga dan dua gelaran Liga Juara-Juara Eropah. – AGENSI