fbpx

Faizal Tahir ‘terjun’ bersama FML

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Faizal Tahir bersama duo FML.

Perkenalan menerusi Instagram sekitar dua tahun lalu akhirnya membuka pintu rezeki buat dua anak muda berbakat besar, Muhammad Fahimi Rahmat, 23, dan Muhammad Ikhmal Mohd Hamka, 25.

Minat mendalam terhadap dunia muzik termasuk menyanyikan semula lagu penyanyi lain dengan versi tersendiri menyatukan dua bakat itu bawah satu nama FML.

Tidak terhenti di situ, duo FML yang bernaung bawah syarikat muzik, Faithful Music milik penyanyi Faizal Tahir sejak tahun lalu mengembangkan sayap muzik apabila hadir dengan single sulung berentak R&B berjudul Payung Terjun.

“Kami kenal kerana masing masing suka menyanyikan semula lagu artis lain selain bermain alat muzik seperti gitar.  Apabila melihat minat masing masing begitu ketara, kami bergabung. 

“Tak sangka pula perkongsian video dalam Instagram menarik minat pihak Faithful Music untuk bernaung bawah label mereka.

“Nama FML itu sendiri ialah gabungan nama saya (Fahimi) dan Mal (Ikhmal). Ikutkan biarpun saya menjual kek dan Mal berniaga kerepek, kami banyak habiskan masa meneroka bidang muzik secara sendiri. 

“Saya dan Mal sendiri gemar melakukan susunan muzik sendiri secara suka suka. Tapi siapa tahu ke depan nanti kami boleh jadikan bidang itu secara profesional. Kebanyakan lagu nyanyian semula’ kami, saya dan Mal lakukan komposisinya sendiri. Mal pula memiliki suara yang unik,” kata  Fahimi mewakili teman duonya, Ikhmal. 

Malah kata Fahimi lagi, mereka juga secara peribadi meminati bakat besar Faizal Tahir sejak sekian lama.

“Bukan nak bodek ke apa, tapi kalau dulu memang melihat Faizal Tahir dari jauh. Alhamdulillah sekarang dapat bekerjasama.

“Memang mimpi jadi nyata. Dalam hidup ini, tiada yang mustahil. Kami juga percaya dengan bakat dimiliki serta bimbingan serta sokongan Faithful Music, FML boleh terbang tinggi. InsyaAllah, “ kata Fahimi.

 

Duo FML terdiri Fahimi (kiri) dan Ikhmal.

 

Ditanya mengenai lagu Payung Terjun ia memberi pelbagai terjemahan maksud. Lagu berkenaan dirakamkan sekitar Mei lalu ketika tamat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat dikuatkuasakan.

“Dalam erti kata lain, Payung Terjun ini memberi simbolik bahawa dalam setiap apa yang terjadi pasti ada jalan penyelesaian.

“Kalau dilihat dalam soal jodoh… kita selalu sebut kalau ada jodoh takkan ke mana.

Begitu juga jika ada masalah dalam hidup, ada cara menanganinya. 

“Pendek kata rezeki akan sampai, masalah akan selesai dan jodoh juga akan tiba. Dalam lirik lagu ini juga ada menyebut ‘everything gonna be alright’… tak perlu risau. InsyaAllah,” katanya.

Single ciptaan  Faizal Tahir, Mike Chan, John Jeevasingham, Omar K, Fahimi Rahmat dan Ikhwan Fatanna tersebut dilancarkan sejak 24 Julai (Jumaat).

Single Payung Terjun merupakan terbitan Faithful Music dan edaran Universal Music. K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN