fbpx

Senjata tarif Trump makan diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEJAK memerintah Amerika Syarikat (AS) buat kali kedua, kelihatannya Presiden Donald Trump begitu bersungguh-sungguh menekan negara-negara luar dengan menggunakan tarif sebagai senjata utamanya.

Semasa pemerintahan bagi penggal pertama (2017-2021), beliau begitu popular dengan slogan America First iaitu mendahulukan kepentingan AS dalam semua aspek, daripada ekonomi hingga dasar luar.

Ketika itu, selain dasar imigresen dengan projek membina tembok di sempadan Mexico dan dasar zero tolerance imigran, Trump turut melancar perang perdagangan terhadap China dengan mengenakan tarif bernilai ratusan bilion melibatkan barangan import dari China.

Bagi penggal kedua kini, hasrat Trump dikembangkan lagi dengan mengenakan tarif terhadap berpuluh-puluh negara di Amerika Utara dan Amerika Tengah, Amerika Selatan, Asia dan Timur Tengah serta negara-negara Afrika.

Ternyata apa yang dilakukan oleh beliau menyebabkan ketidaktentuan ekonomi dan pasaran saham global. Tindakan yang dianggap semberono oleh pakar-pakar ekonomi itu bakal menyebabkan harga barangan pengguna rakyat AS sendiri naik khususnya barangan keperluan seperti elektronik, perabot, barangan rumah, pakaian dan alat ganti.

Kajian menunjukkan sebahagian besar kos tarif itu akan ditanggung oleh pengguna dan perniagaan AS, bukan negara yang dikenakan tarif. Selain itu, dasar tarif itu bakal memberi beban kepada industri AS sendiri apabila pengilang dan petani terpaksa mengeluarkan modal lebih tinggi untuk mendapatkan bahan mentah dari luar negara.

Pada masa yang sama negara luar akan melakukan tarif balas sekali gus menyebabkan eksport AS jatuh. China telah bertindak menyekat import soya dan jagung dari AS. Malah memalukan AS dengan memulangkan tempahan pesawat Boeing pada April lalu.

Keadaan itu menyebabkan Boeing terpaksa berusaha mencari pembeli alternatif untuk lebih 40 pesawat yang ditempah oleh China. Hasilnya adalah Malaysia menjadi sasaran tekanan tarif Trump dengan komitmen membeli 30 pesawat bernilai kira-kira RM40 bilion.

Indonesia juga menerima tekanan untuk mendapat tarif 19 peratus AS apabila bersetuju meningkatkan import minyak mentah dan LPG dari negara Uncle Sam itu yang bernilai antara RM44 bilion hingga RM66 bilion.

Banyak lagi negara terpaksa akur terhadap ‘rundingan’ tarif Trump bagi mengelak daripada dikenakan tarif tinggi yang dibimbangi boleh menyebabkan kesan buruk jangka panjang iaitu hasil eksport terganggu dan daya saing industri merosot sekali gus kehilangan pendapatan dan akhirnya menjejaskan peluang pekerjaan rakyat.

Namun Trump mungkin lupa, bahawa dalam apa juga perang, setiap lawan akan memikirkan strategi pilihan dan pelan jangka panjang bagi memastikan gangguan, ancaman dan ketidaktentuan yang beliau cipta itu tidak berpanjangan.

Beliau cuba ‘menjajah’ negara-negara kecil dengan menggunakan senjata tarif. Negara-negara dunia pastinya sedang memikirkan alternatif termasuk mengurangkan operasi atau berpindah eksport ke negara lain untuk mengelak tekanan tarif AS.

AS perlu sedar bahawa status negara terkuat dunia tidak akan selama-lama menjadi miliknya. Dia sepatutnya mencari sebanyak mungkin rakan, bukan musuh.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN