KULIM – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan meneliti laporan penuh siasatan kegiatan pasport terbang didakwa didalangi pegawai penguat kuasa di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Johor Bahru.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau akan meminta laporan tersebut daripada Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.
“Sekarang dia (Mohd Shuhaily) baru hari yang ke-25, biar dia uruskan dulu. Saya percaya kita telah
meletakkan orang yang betul pada tempatnya,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Ulang Tahun Ke-53 Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) di Dataran Kulim hari ini.
Katanya, beliau sebelum ini dikritik pihak tertentu kerana meletakkan Mohd Shuhaily di jawatan tersebut.
“Waktu kita buat pengumuman, saya kena teruk. (Ada kata) Macam mana pegawai yang baik dalam pasukan polis, dia letak untuk jaga satu agensi baharu. Sekarang dia dah mula tunjukkan keberkesanan, kepimpinan dia.
“Kemudian orang pula kata, jadi Menteri KDN tak payahlah nak ambil ‘hun’ (ambil nama) dia tu pula. Semua kerana kehebatan KP (ketua pengarah), dia ke situ pula. Sekarang bila rakyat nampak keberkesanan itu, dia kata ini adalah kerana ketangkasan KP, bukan kerana menteri yang letak di situ. Itu biar luncai terjun dengan labu-labunya, saya tak mahu layan,” ujarnya
Semalam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan empat pegawai penguat kuasa kerana disyaki menerima rasuah kira-kira RM3,000 ketika bertugas di kaunter penyeliaan zon masuk motor di sempadan Johor-Singapura.
Suspek lelaki berusia 20 hingga 40-an itu ditahan selepas siasatan awal mendapati mereka terlibat dalam urusan keluar masuk pasport tanpa kehadiran pemilik, dikenali sebagai kegiatan ‘pasport terbang’.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, menurut Saifuddin, KDN merancang untuk meningkatkan fungsi Rela dalam aspek kawalan di kawasan yang lebih sensitif termasuk pintu masuk negara berbanding tugas sukarelawan hakiki.
Sehubungan itu, katanya, Rela perlu mempersiapkan diri dengan kemahiran baharu termasuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan berbanding kemahiran untuk mengawal keselamatan biasa dan membantu mangsa bencana.
“Tugas polis dan tentera itu kekal sebagai tugas hakiki tetapi sementara agensi itu mempunyai tugas hakiki dia menjaga kawalan keselamatan di sempadan, di KDN kami melihat bahawa Rela juga ada ruang untuk ikut membantu,” tambahnya.-KOSMO! ONLINE