PETALING JAYA – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hari ini melancarkan Karnival Anak Warisan Simpan SSPN (KAWAN) 2025 di Kompleks Karamunsing, Sabah dalam usaha menyemai budaya menabung dan memupuk nilai murni dalam kalangan anak-anak sejak usia muda.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud, disertai oleh Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim, serta Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid.
Karnival berskala nasional ini berlangsung serentak di 14 negeri seluruh negara, membabitkan kerjasama strategik bersama Kementerian Pendidikan (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri, agensi kerajaan dan swasta serta sekolah rendah di bawah Modul Kelab Simpanan Pendidikan (KSP).
Menerusi satu kenyataan PTPTN berkata, karnival tersebut menggambarkan peranan anak-anak sebagai pewaris masa depan negara dan pihaknya ingin menanam kesedaran bahawa pendidikan dan nilai murni yang diterapkan sejak kecil merupakan warisan paling berharga untuk generasi akan datang.
Jelas PTPTN melalui aktiviti komuniti dan kekeluargaan nilai murni seperti amalan berjimat cermat melalui penabungan serta keutuhan institusi keluarga sebagai asas kepada pembinaan generasi Madani yang berdaya tahan dan harmoni.
“Karnival KAWAN turut dimeriahkan dengan pelbagai pertandingan bertemakan warisan dan seni budaya, antaranya Pertandingan Sajak, Syair dan Seloka, Action Song Simpan SSPN, dan Pertandingan Kebudayaan yang menjadi tarikan utama pengunjung.
“Melalui aktiviti ini, KAWAN bukan sahaja memupuk semangat kreativiti, semarak budaya dan memartabatkan warisan seni serta budaya bangsa malah berperanan penting dalam usaha menyemai budaya menabung dalam kalangan masyarakat,”kata PTPTN.
PTPTN menjelaskan kelebihan Simpan SSPN sebagai tabung pendidikan yang menawarkan pelbagai manfaat seperti pelepasan cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful, Geran Sepadan percuma sehingga RM10,000 dan kadar dividen kompetitif yang patuh syariah.
Dengan ciri-ciri istimewa ini, Simpan SSPN tidak sekadar tabung pendidikan, malah menjadi instrumen simpanan yang dijamin Kerajaan dan bermanfaat untuk seisi keluarga.
Dalam pada itu, PTPTN memberitahu, sebagai pengisian gaya hidup sihat, turut berlangsung Program Larian PTPTN dan Komuniti Sabah 2025 di Lintasan Deasoka yang melibatkan lebih 1,000 peserta daripada pelbagai latar belakang termasuk mahasiswa IPT, pelajar sekolah dan masyarakat setempat.
Pada masa sama, PTPTN dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) komited untuk terus memperluaskan kesedaran penabungan sebagai satu alternatif terbaik mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman pendidikan. – KOSMO! ONLINE.