LONDON – Newcastle United dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk mendapatkan penyerang sensasi RB Leipzig, Benjamin Sesko sebagai pengganti kepada Alexander Isak yang mahu meninggalkan kelab tersebut.
Isak, 24, mengejutkan pengurusan The Magpies selepas menyatakan hasrat untuk berpindah, dengan Liverpool sedia membayar nilai perpindahan sekitar £120 juta (RM681.92 juta) bagi mendapatkan khidmat penyerang antarabangsa Sweden itu.
Situasi itu memaksa Newcastle mencari pengganti sesuai dan Sesko yang kini berusia 22 tahun berada dalam radar mereka.
Bagaimanapun, kelab dari England itu berdepan kekangan kewangan memandangkan Sesko mempunyai perjanjian kontrak baharu bersama Leipzig yang menyaksikan klausa pelepasan bernilai £55 juta (RM312.55 juta) digugurkan.
Pakar perpindahan Eropah, Fabrizio Romano mendakwa, Sesko mempunyai ‘perjanjian lisan’ yang membenarkan beberapa kelab terpilih mendapat diskaun, menjadikan nilainya sekitar £60 juta (RM340.96 juta) hingga £70 juta (RM397.79 juta).
Terdahulu, nama Sesko turut dikaitkan dengan banyak kelab di England, namun Arsenal beralih arah kepada Viktor Gyokeres, manakala Manchester United sudah menandatangani Matheus Cunha dan Bryan Mbeumo.
Dalam masa sama, Newcastle juga dilaporkan sedang menyediakan bidaan bernilai £30 juta (RM170.48 juta) untuk mendapatkan penyerang Brentford, Yoane Wissa.
Pemain antarabangsa Republik Demokratik Congo itu berkemungkinan menjadi pemain terkini Brentford selepas Mbeumo sah menyertai United baru-baru ini. – AGENSI