PETALING JAYA – Seorang remaja perempuan berusia 16 tahun dilaporkan hilang selepas kali terakhir dilihat berada di kawasan Flat Taman Medan, di sini, pada 23 Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, remaja dikenali sebagai Siti Zurria Irdina Nizam, warga Malaysia berbangsa Melayu kali terakhir dilihat di kawasan berkenaan sekitar pukul 7.30 malam.
“Polis menerima laporan berhubung kehilangan mangsa di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya kira-kira pukul 1.50 tengah hari semalam.
“Mangsa berusia 16 tahun berkulit sawo matang dengan ketinggian 158cm dan berambut ikal berwarna hitam dan perang paras bahu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai keberadaan remaja terbabit diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bilik Gerakan IPD Petaling Jaya di talian 03-7966 2222.
Maklumat juga boleh disalurkan terus kepada Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Ainaa Athira, di talian 010-276 2186. – KOSMO! ONLINE