BINTULU – Seramai 12 orang melecur dalam kebakaran sebuah kilang di Estet Perindustrian Kemena di sini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian kira-kira pukul 7.30 malam tadi dan segera menggerakkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu dan BBP Kidurong ke lokasi.
Katanya, setiba di lokasi mendapati kebakaran melibatkan longgokan kayu yang telah diproses terbakar di luar bangunan kilang terbabit serta turut mengakibatkan dua boiler terbakar 100 peratus dan struktur bangunan 10 peratus.
“Terdapat 12 mangsa dilaporkan melecur termasuk seorang remaja lelaki 12 tahun mengalami kecederaan di kaki dan tangan.
“Kesemua mangsa telah dihantar ke Hospital Bintulu menggunakan ambulans dan EMRS Bintulu,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata mangsa-mangsa yang cedera terdiri daripada 10 warga Indonesia dan dua warga tempatan.
Katanya operasi pemadaman dilakukan menggunakan sumber air dari pili bomba berhampiran serta bantuan sumber air dari lori tangki.
Pada masa sama, katanya sebuah jengkaut milik syarikat turut digunakan untuk mengalihkan sisa-sisa timbunan kayu yang masih berbara. – KOSMO! ONLINE