MELAKA – Melaka tersenarai antara negeri tertinggi mencatatkan kadar obesiti dalam kalangan penduduk dewasa di Malaysia.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019 menunjukkan 34.7 peratus penduduk dewasa di Melaka mengalami berat badan berlebihan, mengatasi purata kebangsaan.
Katanya, sebanyak 28.2 peratus penduduk pula tergolong dalam kategori obesiti.
“Ini bermakna hampir 63 peratus rakyat dewasa negeri ini mempunyai masalah berat badan melebihi paras normal, jauh lebih tinggi berbanding purata kebangsaan ketika itu iaitu 30.4 peratus bagi berlebihan berat badan dan 19.7 peratus obesiti.
“Golongan berumur antara 30 hingga 49 tahun mencatatkan kadar tertinggi dengan lebih 60 peratus mengalami masalah berat badan berlebihan dan obesiti,” katanya ketika ditemui selepas program Walkabout Premis Bebas Asap bersama Jabatan Kesihatan Negeri Melaka di Plaza Mahkota, Bandar Hilir di sini, semalam.
Tambahnya, golongan remaja dan belia berusia antara 18 hingga 29 tahun turut menunjukkan peningkatan berat badan susulan gaya hidup dan pemakanan tidak sihat.
Mengulas lanjut, Hee Sem berkata, kadar sebenar obesiti di Melaka bagaimanapun dijangka lebih tinggi iaitu antara dua hingga lima peratus berbanding statistik NHMS. – KOSMO! ONLINE