WASHINGTON – Dua kru kabin cedera selepas sebuah pesawat komersial Southwest Airlines tiba-tiba ‘menjunam’ kira-kira 138 meter untuk mengelak pelanggaran dengan kapal terbang lain di ruang udara California, lapor portal berita New York Post semalam.
Menurut laman web penerbangan FlightRadar24, ketinggian pesawat itu menurun daripada 4,297 meter kepada 4,159 meter enam minit selepas berlepas dari Lapangan Terbang Hollywood Burbank, Los Angeles.
Seorang penumpang, Steve Ulasewicz memberitahu saluran berita ABC News, juruterbang memberitahu mereka yang berada di dalam pesawat bahawa gerakan drastik itu dilakukan untuk mengelakkan pelanggaran.
Penumpang-penumpang menjerit ketika pesawat itu ‘menjunam’ selama 10 saat, kata Ulasewicz.
Penumpang lain dikenali sebagai Jimmy Dore berkata, dia dan sebilangan penumpang lain seperti ‘dilambung’ semasa insiden ‘hilang altitud’ yang mengejutkan itu.
“Juruterbang terpaksa menjunamkan pesawat secara agresif untuk mengelakkan pelanggaran di ruang udara lapangan terbang Burbank,” katanya di laman X selepas kapal terbang mendarat di Sin City.
Sebuah jet lain, Hawker Hunter berada berhampiran kapal terbang Southwest Airlines pada ketinggian kira-kira 4,460 meter, lapor ABC News.
Juruterbang Hawker Hunter melaporkan melihat Boeing 737 itu tetapi tidak diarahkan dengan betul oleh menara kawalan trafik udara, demikian menurut ABC News yang memetik sumber.
“Kami menghargai profesionalisme kru penerbangan. Tiada yang lebih penting untuk Southwest Airlines selain keselamatan pelanggan dan pekerja kami,” kata syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan. – AGENSI