SHAH ALAM – Jawatankuasa Pengelola (Induk) Sukan Malaysia (Sukma) Selangor 2026 memutuskan temasya itu akan berlangsung pada 15 hingga 24 Ogos tahun hadapan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, tarikh itu dipilih selepas mengambil kira beberapa temasya sukan dunia yang berlangsung pada tahun sama.
“Para Sukma 2026 pula akan berlangsung pada 5 hingga 14 September tahun sama. Venue pembukaan dan penutup temasya Para akan kami akan umumkan pada September ini.
“Kami turut memuktamadkan Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sebagai venue penutup Sukma,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat itu hari ini.
Amirudin memaklumkan semua daerah di Selangor akan menganjurkan 28 sukan wajib selain lima sukan tambahan yang akan diumumkan Majlis Tertinggi Sukma awal bulan depan. – KOSMO! ONLINE.