JAKARTA – Seorang lelaki di Muara Bungo, wilayah Jambi meluahkan kekecewaan terhadap rakan-rakannya yang tidak hadir ke majlis perkahwinannya meskipun dia pernah memberikan duit salam kaut yang banyak kepada mereka, lapor portal berita Wolipop semalam.
Dalam satu hantaran di media sosial, lelaki bernama M. Wahyudi berkata, ketika rakan-rakannya berkahwin sebelum ini, dia hadir ke setiap majlis mereka.
“Ketika rakan-rakan berkahwin, saya hadir ke majlis mereka. Namun ketika saya berkahwin, mereka tidak datang, malah ucapan selamat pun tiada,” katanya.
Wahyudi turut memuat naik gambar perkahwinannya beserta nota bertulis nama rakan-rakannya di samping jumlah duit salam kaut yang pernah diberikan.
“Kita pergi kenduri mereka tetapi kenduri kita, mereka tidak datang. Sekurang-kurangnya datanglah sebagai tanda hormat,” tulisnya.
Hantaran itu menjadi tular dan menerima pelbagai komen daripada pengguna media sosial.
“Duit salam kaut sepatutnya dianggap cara tetamu membayar duit makan, mengapa ia dibuat seperti hutang yang perlu dibayar balik?” kata seorang netizen.
“Majlis perkahwinan anda terlalu mewah, mereka takut untuk datang,” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI