KUALA LUMPUR – Bantuan kemanusiaan Malaysia ke Gaza masih terhenti di sempadan berikutan sekatan berterusan oleh pihak berkuasa Israel.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, rombongan kedua bantuan masih belum dapat melepasi pusat pemeriksaan Israel walaupun pelbagai usaha telah dilakukan bersama Mesir, Qatar dan Jordan.
“Pagi ini, memang ada taklimat terakhir daripada Menteri Luar dan beberapa kementerian.
“Kita masih mempunyai peralatan dan bekalan, dan saya telah beberapa kali meminta kerjasama daripada Presiden Fattah el-Sisi dari Mesir untuk membantu, tetapi Israel terus menghalang,” katanya pada Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Doris Sophia Brodie (GPS-Sri Aman) berhubung status terkini bantuan kemanusiaan Malaysia ke Gaza.
Sementara itu, Anwar berkata, bantuan pertama berjaya memasuki wilayah tersebut, tetapi rombongan kedua masih tersekat di sempadan Israel.
Katanya, percubaan Jordan untuk menghantar makanan dan bekalan perubatan turut menghadapi halangan.
“Jadi kini, dari segi bantuan kemanusiaan, kita masih mempunyai keupayaan dan dana, tetapi tidak dapat meneruskan.
“Lori-lori yang tersekat masih berjumlah ratusan, dan ada yang sudah rosak serta musnah,” katanya.
Beliau turut mengkritik keadaan tersebut yang dianggap zalim dan tidak berperikemanusiaan kerana Israel langsung tidak menghiraukan penderitaan orang awam, termasuk kanak-kanak. – KOSMO! ONLINE