fbpx
Gambar hiasan

Anak kita ‘dibunuh’ senyap-senyap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ISU buli melibatkan pelajar sudah lama berakar sama ada di sekolah harian, sekolah berasrama ataupun institusi pengajian tinggi (IPT).

Ia juga disebut ragging yang merujuk kepada perbuatan mengejek atau menganiaya seseorang. Biasanya mangsa adalah pelajar baharu. Ragging ini ibarat ‘medan ujian’ yang dilakukan pelajar senior kepada junior.

Ia melibatkan tindakan bersifat psikologi atau fizikal. Namun, tanpa kita sedar perbuatan yang selama ini ‘dihalalkan’ (kecuali melibatkan kecederaan fizikal) waima dengan alasan bergurau membawa kesan yang besar.

Walaupun tiada luka atau darah, perbuatan seperti mengejek, mengawal atau memboikot boleh menjadi ‘pembunuh senyap’ kerana mangsa menderita dalam diam.

Bagi penulis ia ‘lebih parah’ berbanding kecederaan fizikal yang dapat dilihat dengan mata kasar dan mempunyai bukti.

Baru-baru ini seorang kenalan rapat menghubungi penulis. Nada suaranya seperti menahan marah, kecewa dan sedih.

Selama ini dia hanya membaca kisah buli di akhbar an media sosial, tetapi kali ini kejadian itu berlaku ke atas anak sendiri.

Anak lelaki dan sulung yang menjadi harapan keluarga rupa-rupanya menderita sejak sekian lama kerana dibuli. Yang membuatkan si ibu kecewa perkara itu hanya terbongkar selepas anaknya sudah tamat sekolah.

Sebelum ini anak remaja itu sama seperti kebanyakan Gen Z tidak banyak bercakap dan suka menghabiskan masa di rumah. Baru-baru ini, anak lelakinya menangis teresak-esak selepas diterima untuk menyambung pengajian.

Si ibu yang berasa pelik membawa anaknya ke hospital dan dirujuk kepada pakar psikiatri.

Luluh hatinya apabila setelah dipujuk remaja itu memberitahu pakar dia takut untuk menyambung pengajian kerana trauma dibuli kawan-kawan sewaktu belajar di sebuah sekolah yang namanya agak popular jika disebut.

Anak ini hanya memendam perasaan tatkala diejek dan ditertawakan rakan-rakan. Rupa-rupanya ejekan itu meninggalkan bukan sahaja parut, malah hampir ‘membunuh’ masa depannya.

Walaupun masih belum terlambat, namun untuk memulihkan trauma ini ia pasti memakan masa. Yang pasti ia banyak wang ringgit juga perlu ‘dilaburkan’ untuk berjumpa pakar dan membeli ubat-ubatan.

Mungkin ada yang beranggapan perbuatan ejek sama ada bentuk fizikal, warna kulit atau nama seseorang itu satu jenaka, tetapi penerimaannya berbeza-beza.

Hendak mengadu bimbang dianggap manja dan lemah. Jadi mangsa memendam rasa sakit selama bertahun-tahun. Perkara inilah yang harus diberikan perhatian dengan segera.

Golongan ibu bapa perlu peka dengan perubahan sikap anak masing-masing.

Pihak sekolah dan rakan-rakan terdekat juga harus memainkan peranan sama kerana ‘sakit di dalam’ itu kesannya akan lebih parah lama-kelamaan mengundang penyakit lain, lebih teruk sehingga ‘menjemput’ kematian. Nauzubillah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN