PERKEMBANGAN teknologi telah memberi peluang kepada pelajar sekolah di Pulau Bum Bum, Semporna, Sabah untuk merasai pengalaman menggunakan dron, robotik dan percetakan tiga dimensi (3D) menerusi program Malaysia Techlympics 2025.
Dianjurkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), acara melibatkan 106 pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Sisipan, Pulau Bum Bum baru-baru ini membuka lembaran baharu buat pelajar luar bandar khususnya di kawasan terpencil itu untuk turut sama merasai perubahan teknologi.
Menerusi lawatan baru-baru ini, Timbalan Menteri MOSTI, Datuk Mohammad Yusof Apdal meluahkan rasa kekaguman dan percaya lokasi sekolah yang terletak di pulau tidak membataskan pelajar untuk menyertai pertandingan Techlympics.
“Saya hadir ke SK bukan sekadar sebagai Timbalan Menteri, tetapi sebagai anak Sabah yang kagum melihat kemampuan warga setempat menyahut cabaran dalam teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan Internet Kebendaan (IoT).
“Sempadan geografi tidak sepatutnya terbatas dan saya percaya bahawa ilmu dan peluang sentiasa ada walau di mana saja. Program ini juga merupakan gerakan nasional untuk meperkasa minat dalam Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) khususnya dalam kalangan pelajar sekolah,” katanya.

Dalam program lawatan itu, MOSTI turut menyerahkan Kit Pertandingan Malaysia Techlympics bernilai lebih RM4,000 di samping mengumumkan SK Sisipan akan terus mewakili Sabah ke peringkat zon negeri tanpa melalui saringan awal.
Bagi Guru Besar SK Sisipan, Dayang Jasmawati Awang, kehadiran Malaysia Techlympics ke Pulau Bum Bum adalah sesuatu yang tidak pernah disangka.
“Anak-anak kami kini lebih berminat terhadap sains dan mereka mula berfikir secara kritis dan kreatif bukan untuk pertandingan sahaja, tapi sebagai kemahiran seumur hidup.
“Saya sangat sokong usaha ini kerana bukan saja ia mengurangkan jurang pendidikan, malah meningkatkan kehadiran pelajar ke sekolah kerana mereka teruja untuk belajar, sementara saya dulu hanya melihat di televisyen, tetapi sekarang boleh pegang dron sendiri,” katanya.
Malaysia Techlympics diinspirasikan daripada format Sukan Olimpik dengan pelbagai pertandingan teknologi seperti AI, robotik, dron, IoT, reka bentuk animasi dan percetakan 3D.

Menerusi pengumuman rasmi, pelajar SK Sisipan akan menyertai pertandingan peringkat negeri Sabah pada 18 Ogos depan di Kota Kinabalu dengan hasrat membawa nama Pulau Bum Bum ke pentas kebangsaan.
Peringkat zon negeri bermula pada 14-15 Julai bagi Zon Tengah, 28-29 Julai bagi Zon Selatan dan Zon Pantai Timur (11-12 Ogos). Kemudian pertandingan diteruskan ke Sabah pada 18-19 Ogos, Zon Sarawak (3-4 September) dan Zon Utara Semenanjung pada 22-23 September. Semua pemenang zon akan bertanding di peringkat akhir (kebangsaan) pada 9 November depan, manakala pemenang peringkat kebangsaan layak bertanding di acara global.
Malaysia Techlympics menyasarkan 1.7 juta penyertaan tahun ini dengan 30 juta jangkauan digital.














