MELAKA – Dua pekerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) melecur akibat terkena renjatan elektrik selepas sebuah stesen pencawang meletup dan terbakar di Pangsapuri Rumpun Bahagia, Jalan Bachang, di sini tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu, mangsa yang masing-masing berusia 30-an dikejarkan ke hospital menaiki ambulans hospital.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah, Pegawai Bomba Kanan I Mohd. Ismail Harun berkata, panggilan kecemasan diterima pada pukul 10.38 pagi dan sepasukan sembilan anggota dikejarkan ke lokasi bersama-sama tiga buah jentera.
“Sebaik tiba di lokasi, kita dapati berlaku letupan dan kebakaran di stesen pencawang TNB yang mengakibatkan dua pekerja yang sedang melakukan kerja-kerja penyelenggaraan terkena renjatan elektrik.
“Kedua-dua mangsa mengalami melecur dan dikejarkan ke hospital,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, kerja-kerja memadam kebakaran telah dilakukan dan operasi dapat dikawal sepenuhnya pada pukul 10.47 pagi. – KOSMO! ONLINE