PASIR PUTEH – Seorang penternak ayam kampung organik cemas selepas terserempak seekor ular sawa batik seberat 30 kilogram (kg) yang kekenyangan selepas membaham tujuh ekor ayam dalam rebannya di Kampung Sungai Petai di sini hari ini.
Kejadian pada pukul 7 pagi itu disedari Mohd. Khairul Amizi Hussin, 51, selepas terdengar bunyi bising dari reban ayam yang diusahakannya menerusi Program Ternakan Al-Falah.
Katanya, dia seolah tidak percaya apabila mendapati kesemua ayam di dalam reban ‘ghaib’ sebelum melihat perut reptilia tersebut buncit dipercayai memakan ternakannya.
“Saya mendapati induk betina dan anak-anak ayam baka kampung organik ‘lesap’. Seekor induk betina berharga RM40, manakala induk jantan pula RM60. Memang besar kerugian yang saya alami hari ini.
“Saya dan jiran (Hanapi Harun) menangkap ular sawa sepanjang tiga meter itu menggunakan karung guni sebelum menyerahkannya kepada Angkatan Pertahanan Awam (APM),” katanya ketika ditemui hari ini.
Sementara itu, Pegawai APM Pasir Puteh, Nik Mohd. Nor Nik Mat berkata, ular sawa tersebut ditempatkan dalam sangkar khas di Pejabat APM Pasir Puteh sebelum diserahkan kepada pihak berwajib untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE