fbpx
EX30 mempunyai rekaan yang minimalis, namun mempunyai pesona sendiri dengan ‘trademark’ Volvo yang masih menebal.

Kecil tapi ‘menyengat’ atas jalan raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KECIL-KECIL cili padi, itu gambaran kenderaan elektrik (EV) Volvo EX30 yang ‘menyengat’ dan berprestasi di jalan raya.

Saiznya yang tidak terlalu kecil dan besar amat praktikal serta mesra bandar dengan dimensi 4,233 milimeter (mm) panjang, 1,837mm lebar, 1,555mm dan jarak roda sejauh 2,650mm.

EX30 bukan sahaja padat dengan teknologi, tetapi turut menawarkan tahap keselamatan yang sangat tinggi, seiring visi Volvo untuk memberi pengguna kebebasan bergerak secara peribadi, lestari dan selamat.

Dengan jejak karbon terendah dalam sejarah Volvo iaitu kurang daripada 30 tan pelepasan karbon sepanjang 200,000 kilometer (km) pemanduan, EX30 mengangkat visi Volvo ke arah mobiliti lestari.

Bagi pasaran tempatan, EX30 ini ditawarkan dalam tiga varian iaitu EX30 Plus pada harga RM188,888 atas jalan tanpa insurans, EX30 Ultra (RM208,888) dan versi paling berkuasa EX30 Ultra Twin Performance (RM228,888).

Apabila diberi peluang memandu uji EX30, penulis amat teruja memandangkan reka bentuknya agak ‘wow’ untuk sebuah EV, sesuai untuk cita rasa pemandu muda.

Varian yang penulis cuba adalah EX30 Ultra Twin Performance warna Vapour Grey menyerlahkan lagi karakter luar biasa bagi kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak ini.

Dari segi pemanduan, stereng EX30 ringan dan responsif serta mudah dikendalikan, amat sesuai untuk pemanduan dalam bandar.

Malah, parkir di ruangan sempit tidak menjadi masalah dengan dimensi kompak kenderaan ini yang tidak terlalu kecil atau besar.

Ciri bumbung panoramik memberikan pengalaman pemanduan yang menarik.

Ketika penulis melalui jalan selekoh atau tajam, jentera ini langsung tidak terbuai, rasa stabil dan meyakinkan walaupun pedal minyak ditekan.

Bagi sebuah EV, penulis paling suka dengan sistem brek regeneratif EX30 yang menggunakan mod satu pedal. Kenderaan akan perlahan-lahan berhenti dengan lembut apabila pedal minyak dilepaskan.

Dari segi kuasa, EX30 Ultra Twin Performance menggunakan dua motor elektrik menjana kuasa 428hp dan tork 543Nm, membolehkan pecutan sifar hingga 100km/j dalam masa hanya 3.6 saat.

Ia dibekalkan dengan bateri Nickel Manganese Cobalt (NMC) berkapasiti 69 kWh yang memberikan jarak sehingga 450km. Prestasi EX30 bukan biasa-biasa apabila pedal minyak dtekan, pecutannya selari dan berubah seperti kereta sports dengan kuasa 428hp.

Agak tdak masuk akal untuk SUV sekecil ini tapi ‘menyengat’ apabila meluncur di jalan raya.

Dari segi rekaan, model EV ini nampak ‘simple’ tetapi menarik dengan signatur utama sebuah Volvo iaitu lampu hadapan dengan lampu nyalaan siang LED berbentuk ‘Tukul Thor’.

Bahagian lampu belakang pula berbentuk seperti C yang bersambung dengan jalur LED nipis menjadikan seperti bentuk berkotak dengan lencana Volvo di tengahnya.

Merupakan sejenis EV, EX30 dikuasakan dengan bateri NMC berkapasiti 450 kilometer bagi pengecasan penuh.

Ia diperkemas dengan rim aloi ‘diamond cut’ bersaiz 19 inci. EX30 mampu dicas pantas menggunakan pengecas arus terus (DC) 175 kilowatt (kW) dari 10 hingga 80 peratus dalam masa hanya 28 minit.

Rekaan dalaman EX30 amat minimalis tetapi nampak premium berinspirasikan alam semula jadi Skandinavia.

Jentera ini dipadankan dengan kabin berwarna indigo yang menampilkan upholsteri gandingan farbik dan kulit sintetik Nordico serta panel-panel kemasan denim yang dihasilkan dari bahan kitar semula dan juga liang udara berwarna biru.

Kabin EX30 ini juga direka bagi menampilkan ruang storan yang versatil, tetapi dalam masa sama mengurangkan penggunaan pelbagai komponen.

Misalnya untuk sistem audio premium Harman Kardon pada SUV ini menampilkan soundbar yang dihasilkan secara binaan dalam pada papan pemuka bagi menggantikan pembesar suara pada pintu depan di mana bahagian tersebut dihasilkan dengan ruang storan lebih besar.

Aspek keselamatan sentiasa menjadi keutamaan Volvo, EX30 apabila dilengkapi teknologi terkini termasuk sistem parkir automatik, antara muka intuitif dengan Google Built-in, sistem ‘Pilot Assist’ yang dinaik taraf dan kesedaran sekeliling 360 darjah yang lebih selamat dan dibantu oleh kamera, sensor dan radarnya.

Ciri lain ialah bumbung panaromik untuk varian Ultra dan Ultra Twin Performance yang memberikan pengalaman pemanduan menarik kepada pemandu dan penumpang.

Kesimpulannya, bagi penulis, EX30 sesuai untuk pengguna yang mahukan kelainan dengan prestasi luar biasa, rupa moden dan aspek keselamatan yang menjadi ‘trademark’ Volvo.

Rekaannya yang menarik dengan warna unik boleh menarik golongan muda untuk beralih kepada Volvo.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN