SUATU ketika dahulu, gout dianggap sebagai penyakit warga emas.
Namun kini, masalah itu turut berlaku dalam kalangan orang muda. Gout juga menjadi krisis kesihatan awam yang semakin meningkat di Malaysia.
Memandangkan Malaysia mempunyai kadar obesiti tertinggi di Asia, maka negara ini berhadapan dengan peningkatan kes penyakit berkenaan. Di Asia Tenggara, 4.35 juta orang menghidap gout, dengan kes melonjak sebanyak 21 peratus dari tahun 1990 hingga 2020.
Pakar Reumatologi dan Pakar Perubatan Dalaman di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC), Dr. Lydia Pok Say Lee berkata, gout bukan penyakit yang menyebabkan ketidakselesaan sekali-sekala.
Menurutnya, ramai orang menganggap gout masalah kecil, namun penyakit itu boleh menyebabkan komplikasi serius termasuk masalah buah pinggang, jangkitan dan kehilangan mobiliti jika tidak dirawat.
“Dengan kes yang semakin meningkat, kesedaran meluas dan tindakan awal amat diperlukan. Gout adalah sejenis artritis radang disebabkan oleh asid urik berlebihan dalam darah yang boleh membawa kepada pembentukan kristal tajam di sendi.
“Ia mencetuskan kesakitan dan datang dengan tiba-tiba terutamanya pada waktu malam atau awal pagi,” katanya.
Tambahnya, tanda utama serangan gout termasuk sakit sendi dan bengkak secara tiba-tiba tanpa kecederaan terutamanya di bahagian ibu jari kaki serta boleh menjejaskan buku lali, lutut, siku, pergelangan tangan dan jari.
Selain itu, masalah tersebut sering dikaitkan dengan golongan berada kerana memiliki diet mewah.
Namun kini, gout dihidapi oleh semua golongan sosioekonomi.
Dr. Lydia mengaitkan masalah itu dengan tabiat pemakanan moden.
“Peningkatan pengambilan makanan tinggi purin seperti daging merah, makanan laut dan minuman keras boleh meningkatkan paras asid urik, lantas menyebabkan keradangan.
“Obesiti juga merupakan salah satu faktor utama. Kini, Malaysia merupakan salah satu negara yang mempunyai kadar obesiti tertinggi di Asia.
“Hampir 50 peratus penduduk di negara ini mengalami masalah berat badan berlebihan.
“Berat badan berlebihan merosakkan fungsi buah pinggang, sekali gus menyukarkan usaha penyingkiran asid urik,” jelasnya.
Sementara itu, faktor penyumbang lain termasuk sindrom metabolik, hipertensi, diabetes dan kolesterol tinggi.
Genetik juga memainkan peranan kerana sejarah keluarga gout meningkatkan kemungkinan untuk seseorang menghidap penyakit itu. Ini disebabkan oleh mutasi genetik yang mempengaruhi pemprosesan asid urik.
Satu salah tanggapan lain adalah gout hanya menyerang lelaki pertengahan umur.

Walaupun golongan itu mempunyai risiko yang lebih tinggi, namun Dr. Lydia menjelaskan, wanita terutamanya yang sudah menopaus dan kanak-kanak juga boleh menghidap gout.
“Mitos yang lain adalah diet jadi penyebab gout.
“Biarpun makanan tinggi purin menyumbang, namun penyebab lain seperti genetik, ubat-ubatan dan kondisi kesihatan juga boleh menyebabkan serangan gout.
“Jika tidak dirawat, gout boleh menyebabkan kerosakan sendi kronik dan kehilangan mobiliti,” terangnya.
Mengabaikan gout boleh menyebabkan serangan yang lebih kerap dan teruk.
Jika tidak dirawat, pesakit yang pada mulanya mengalami serangan setiap beberapa bulan mungkin mula mengalaminya pada setiap minggu.
Apabila keadaan bertambah teruk, kesakitan meningkat, serangan berlarutan dan pelbagai sendi mungkin terjejas.
Kes yang teruk boleh menyebabkan kemasukan ke hospital.
Gout jangka panjang boleh menyebabkan pembentukan ‘tophi’ atau deposit asid urik yang mengeras di bawah kulit sehingga menyebabkan ketidakselesaan dan kecacatan sendi. Lama-kelamaan, deposit ini boleh merosakkan tisu sendi dan menyebabkan masalah mobiliti kekal.
Jadi, Dr. Lydia menyarankan mereka yang mengalami serangan gout berulang untuk mendapatkan rawatan perubatan.
“Merawat kesakitan sahaja tidak mencukupi. Jadi, pesakit perlukan rawatan jangka panjang untuk menurunkan paras asid urik dan mencegah komplikasi lain.
“Pesakit juga dinasihatkan untuk berbincang dengan penyedia penjagaan kesihatan bagi menyusun pelan khusus buat pesakit.
“Ubat-ubatan dan perubahan gaya hidup boleh mengawal gout dengan berkesan serta mengurangkan serangan,” katanya.
Tambahnya, mengamalkan diet seimbang, kekal aktif dan mencapai berat badan sihat adalah amat penting.
Katanya, langkah-langkah itu bukan sahaja dapat mengurangkan pengambilan makanan tinggi purin, malah mampu menurunkan risiko lain yang boleh menyebabkan gout.














