fbpx

Bas terbabas dipercayai akibat masalah brek di Bukit Sentosa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan bas dan salah seorang mangsa yang cedera selepas kenderaan itu terbalik dalam kejadian di Jalan Tulip 3 Bukit Sentosa, hari ini.

HULU SELANGOR – Masalah brek dipercayai menjadi punca sebuah bas terbabas sebelum terbalik di selekoh Jalan Tulip 3, Bukit Sentosa, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi itu, tiga penumpang yang berada di dalam bas berkenaan mengalami kecederaan ringan dan dikejarkan ke Hospital Selayang untuk menerima rawatan.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ibrahim Husin berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan itu menerusi kaunter aduan trafik.

“Siasatan awal mendapati, bas terbabit yang dipandu seorang lelaki berumur 57 tahun bergerak dari arah KTM Serendah menuju ke Bukit Sentosa.

“Setibanya di perhentian bas Klinik Kesihatan Serendah, tiga penumpang berusia 38 tahun, 17 tahun dan sembilan tahun menaiki bas tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, sebaik tiba di lokasi kejadian, bas itu dipercayai mengalami masalah brek sebelum hilang kawalan dan terbabas ke sebelah kiri jalan lalu terbalik.

“Pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan, namun ketiga-tiga penumpang cedera ringan dan dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

“Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang wanita dan anak perempuannya cedera selepas sebuah bas Smart Selangor yang dinaiki mereka terbalik di Jalan Tulip 3 Bukit Sentosa, Rawang.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian sekitar pukul 11.16 pagi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI